Tiga maut tersepit dalam pacuan empat roda

Iklan
Pasukan bomba bertungkus lumus mengeluarkan mangsa tersepit dalam kenderaan pacuan empat roda yang terlibat dalam kemalangan di Batu 16 Jalan Lahad Datu-Sandakan.

LAHAD DATU - Tiga lelaki maut selepas kenderaan pacuan empat roda yang dinaiki terbabit dalam kemalangan dengan sebuah treler membawa muatan minyak kelapa sawit di Batu 16, Jalan Lahad Datu–Sandakan, pada malam Selasa.

Dalam kejadian kira-kira jam 8.40 malam itu, ketiga-tiga mangsa dikenali sebagai Mohd Azizi, 28, iaitu pemandu pacuan empat roda jenis Isuzu D-Max dan dua penumpangnya, Muhammad Zulkhairi Ismail, 29, serta Mohd Rasman Ahmat Kechil, 28, meninggal dunia di lokasi kejadian.

Iklan
Iklan

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lahad Datu, Sumsoa Rashid berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 8.52 malam.

Mangsa dilaporkan maut selepas tersepit dalam kenderaan pacuan empat roda yang terlibat dalam kemalangan di Batu 16 Jalan Lahad Datu-Sandakan.

Iklan

Menurutnya, seramai 12 anggota dikejarkan ke lokasi yang terletak kira-kira 30 kilometer dari BBP Lahad Datu.

“Kemalangan melibatkan sebuah treler dan kenderaan pacuan empat roda. Dalam kejadian itu, terdapat tiga mangsa tersepit dalam pacuan empat roda dan berjaya dikeluarkan oleh pasukan bomba.

Iklan

“Ketiga-tiga mangsa bagaimanapun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pasukan perubatan, manakala seorang lagi mangsa yang cedera iaitu pemandu lori berusia 61 tahun mengalami kecederaan ringan dan dihantar ke hospital untuk rawatan lanjut,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Kemalangan melibatkan sebuah pacuan empat roda dan treler membawa muatan minyak kelapa sawit di Batu 16 Jalan Lahad Datu-Sandakan.

Katanya lagi, kesemua mangsa yang maut telah diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.

“Pasukan bomba kemudian menamatkan operasi pada jam 12.40 tengah malam selepas memastikan tiada bahaya lain di lokasi kejadian,” katanya.