BEKAS bintang Liverpool, Trent Alexander-Arnold mencatatkan bantuan gol pertamanya sebagai pemain Real Madrid apabila skuad kendalian Xabi Alonso menewaskan Juventus, 1-0 sekali gus melayakkan diri ke suku akhir Piala Dunia Kelab.
Alexander-Arnold, yang membuat penampilan keempat berturut-turut dalam kejohanan ini, memulakan perlawanan separuh masa pertama dengan tenang di Stadium Hard Rock, Miami yang dibanjiri 62,149 penonton.
Namun, beliau kemudiannya menyajikan hantaran lintang yang sempurna, yang disudahkan dengan tandukan Gonzalo Garcia untuk meletakkan Los Blancos di depan sembilan minit memasuki separuh masa kedua.
Alonso sekali lagi menggunakan formasi 5-3-2 menentang juara Serie A itu, tetapi pasukannya kelihatan rapuh di bahagian pertahanan pada separuh masa pertama dan bernasib baik tidak ketinggalan di awal permainan.
Randal Kolo Muani terlepas peluang keemasan untuk meletakkan Juventus di depan apabila percubaannya melambung melepasi palang gol selepas dihantar tepat oleh Kenan Yildiz.
Peluang terbaik Madrid pada separuh masa pertama hadir menerusi Jude Bellingham, namun percubaannya dari sudut sukar dinafikan kecemerlangan Michele di Gregorio.
Federico Valverde juga dihalang oleh penjaga gol berusia 27 tahun itu dengan satu penyelamatan satu tangan yang menakjubkan.
Penjaga gol Juventus itu sekali lagi melakukan aksi cemerlang untuk menafikan Bellingham dan Dean Huijsen pada awal separuh masa kedua.
Namun, tandukan kencang Garcia terlalu deras untuk diselamatkan di Gregorio yang menyaksikan anak buah Alonso kini akan berdepan pemenang pertembungan pusingan 16 terakhir Borussia Dortmund dan Monterrey untuk suku akhir hujung minggu ini.