KUALA LUMPUR – Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) Bukit Aman berjaya merampas pelbagai barangan termasuk sisa elektronik (e-waste) bernilai RM5.7 bilion hasil operasi di seluruh negara sejak awal tahun hingga 29 Jun lalu.
Pengarahnya, Datuk Seri Azmi Abu Kassim berkata, dalam tempoh sama pihaknya menerima 7,118 laporan polis dan seramai 5,080 individu telah ditahan.
“Kejayaan itu adalah hasil komitmen luar biasa yang ditunjukkan oleh seluruh warga jabatan termasuk pegawai dan anggota di semua peringkat.
“Saya ucapkan tahniah kepada semua pegawai dan anggota atas dedikasi yang tinggi dalam memastikan kejayaan operasi tersebut,” katanya dalam ucapan Perhimpunan Bulanan JKDNKA Bukit Aman, di sini, pada Selasa.
Dalam pada itu, Azmi turut mengingatkan barisan kepimpinan jabatan agar memastikan elaun, insentif dan hak pegawai bawahan diterima secara tepat dan saksama selaras dengan prinsip integriti serta keadilan.
“Jangan kita abaikan, sebagai ketua, wajib untuk kita memastikan kelayakan itu mereka perolehi,” katanya.
Beliau berkata, warga JKDNKA Bukit Aman perlu memperbetulkan sikap dan tidak mengamalkan perbuatan mengadu domba.
“Kita harus mengeratkan lagi kerjasama kerana kita satu jabatan selain perlu memperbaiki sikap untuk tidak mengkhianati misi jabatan dan pasukan. Jika itu berlaku... kejayaan yang kita perolehi tidak mendatangkan apa-apa makna,” ujarnya.
Tambah beliau, usaha untuk memperkukuh latihan di semua peringkat juga perlu digiatkan agar setiap pegawai dan anggota mendapat manfaat.
“Latihan yang menyeluruh akan melahirkan anggota yang lebih proaktif, berpengetahuan dan bersedia menghadapi apa jua cabaran,” katanya.