Mohd Shuhaily mulakan tugas Ketua Pengarah AKPS

Iklan
Mohd Shuhaily mendengar taklimat berkaitan AKPS pada Selasa.

PUTRAJAYA - Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain memulakan tugas sebagai Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) yang baharu pada Selasa.

Beliau yang sebelum ini merupakan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman tiba di ibu pejabat agensi itu kira-kira jam 9.15 pagi.

Iklan
Iklan

Pelantikan beliau berkuat kuasa serta-merta pada Selasa dan memegang jawatan berkenaan selama dua tahun bermula 1 Julai 2025 hingga 30 Jun 2027.

Mohd Shuhaily berkata, beliau telah bertemu dengan Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Datuk Awang Alik Jeman sebelum memulakan tugas di AKPS.

Iklan

"Beliau (Awang Alik) telah memberi mandat antaranya menyelesaikan beberapa perkara pentadbiran yang harus dilakukan secepat mungkin.

"Semua sedia maklum, kontrak saya hanya dua tahun dan sekiranya dipecahkan kepada suku tahun, saya hanya ada lapan suku sahaja untuk saya laksanakan apa yang dipertanggungjawabkan," ujarnya.

Iklan

Pada Isnin, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar dilaporkan berkata, beliau yakin Mohd Shuhaily, 53, yang memiliki pengalaman luas dalam perkhidmatan polis selama 26 tahun mampu menerajui kepimpinan AKPS dengan lebih cemerlang.

Beliau berkata, ia berdasarkan kompetensi serta pengalaman luas Mohd Shuhaily dalam pelbagai unit di Polis Diraja Malaysia termasuk di peringkat nasional dan antarabangsa.

Kepimpinan Mohd Shuhaily juga diyakini dapat memperkukuh kawalan sempadan negara ke tahap tertinggi serta memperteguhkan budaya integriti dalam perkhidmatan berteraskan nilai-nilai Madani.

Mohd Shuhaily berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Hubungan Antarabangsa Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dan Sarjana Sains Pengajian Strategik Universiti Teknologi Nanyang di Singapura.

Beliau pernah berkhidmat di Washington, Amerika Syarikat sebagai Pegawai Atase (Polis) dari 2010 hingga 2013 dan menyandang jawatan Pengarah JSJ Bukit Aman pada 15 Ogos 2023.

Mohd Shuhaily mempunyai pengalaman luas dalam bidang kepolisan selama lebih 28 tahun.

Sepanjang kerjaya beliau telah memainkan peranan penting dalam pelbagai operasi keselamatan dalam negeri, risikan, siasatan jenayah serta inisiatif pembanterasan jenayah di peringkat negeri dan kebangsaan.