Kontraktor warga asing dipenjara sepuluh bulan

Iklan
Tertuduh dijatuhi hukuman penjara 10 bulan selepas mengaku bersalah membenarkan 17 PATI tinggal di sebuah premis di bawah jagaannya.

KOTA BHARU – Seorang kontraktor warga Bangladesh dijatuhi hukuman penjara 10 bulan oleh Mahkamah Majistret di sini selepas mengaku bersalah membenarkan 17 pendatang asing tanpa izin (PATI) tinggal di sebuah premis di bawah jagaannya.

Tertuduh, Mohamad Masudkhan, 29, membuat pengakuan itu di hadapan Majistret Rais Imran Hamid selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya.

Iklan
Iklan

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan kesalahan tersebut kira-kira jam 7.30 malam di sebuah premis di Jalan Kubang Kacang, Kampung Kubang Siput, Limbat dengan membenarkan 17 warga Bangladesh tinggal di premis yang berada di bawah pengurusannya.

Kesemua PATI terbabit berusia antara 20 hingga 43 tahun.

Iklan

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 55E(1) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) (Pindaan 2002) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 55E(2) akta yang sama, yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih tiga tahun atau denda tidak kurang RM5,000 dan tidak lebih RM30,000, atau kedua-duanya sekali bagi setiap orang yang dibenarkan tinggal secara haram.

Sebelum itu, pihak pendakwaan yang diwakili Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Naabil Mohamed Asri, memohon agar mahkamah menjatuhkan hukuman yang setimpal sebagai pengajaran kepada tertuduh serta orang awam.

Iklan

Tertuduh diwakili oleh peguam Muhamad Fiqri Muhamad.