JELI - Lata Renyuk yang terletak kira-kira 14 kilometer dari Bandar Jeli merupakan antara air terjun yang menjadi tumpuan orang ramai untuk beriadah namun sehingga hari ini kawasan terbabit tidak mempunyai kemudahan rangkaian telefon.
Tinjauan Sinar Harian di lokasi mendapati rungutan itu benar walaupun kedudukan lokasi tersebut tidaklah tersorok, sebaliknya berhampiran dengan kawasan perkampungan.
Pengunjung, Idham Salleh, 37, dari Pasir Puteh berkata, ketiadaan rangkaian telefon menyebabkan mereka sukar untuk berhubung dengan dunia luar sepanjang berada di Lata Renyuk.
"Kebanyakan pengunjung akan menghabiskan masa sekitar tiga hingga empat jam berkelah dan mandi manda bersama keluarga.
"Sepanjang tempoh itu kami terputus hubungan. Bayangkan jika berlaku kecemasan sudah tentu sukar untuk kami menghubungi pihak berkuasa," katanya.
Seorang lagi pengunjung dari Kota Bharu, Din Ahmad, 52, memberitahu, dia terkejut kawasan secantik itu tidak mempunyai rangkaian telefon.
Ujarnya, lagi pun kedudukan tempat riadah itu tidak jauh dari penempatan penduduk.
"Rugi jika kawasan riadah seperti ini tidak dilengkapi dengan kemudahan tersebut," katanya.
Sementara itu, Penghulu Mukim Reka, Abu Bakar Yazid berkata, beliau pernah mengemukakan cadangan kepada pihak berwajib termasuk mencadangkan lokasi untuk pembinaan pencawang.
"Namun sehingga kini tiada jawapan yang diberikan.
"Saya mewakili penduduk dan pengunjung Lata Renyuk merayu dan berharap pencawang rangkaian telefon dapat dibina segera bagi memberi kemudahan serta mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini daripada berlaku," katanya.