Sinar Harian rangkul hadiah Anugerah Kewartawanan Kinabalu

Iklan
Dionysia (dua dari kiri) menyampaikan hadiah kepada Norasikin (dua dari kanan) yang berjaya merangkul hadiah utama bagi kategori Anugerah Laporan Berita (bukan rencana) Bahasa Melayu sempena Anugerah Kewartawanan Kinabalu (KPA) 2025 di Kota Kinabalu.

KOTA KINABALU – [DIKEMAS KINI] Wartawan Sinar Harian, Norasikin Daineh, berjaya merangkul hadiah utama bagi kategori Anugerah Laporan Berita (bukan rencana) Bahasa Melayu dalam Anugerah Kewartawanan Kinabalu (KPA) 2025 yang berlangsung pada malam Ahad.

Anugerah yang dirangkul menerusi laporan bersiri Jalan Magandai mengisahkan laluan utama untuk penduduk, terutama murid, yang terpaksa berjalan kaki meredah laluan berlumpur walaupun jalan tersebut pernah dilaporkan semasa Pilihan Raya Umum (PRU) 2022.

Iklan
Iklan

Hadiah bernilai RM2,500 berserta sijil itu disampaikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) SMJ Energy Sdn Bhd, Datuk Dr Dionysia Kibat.

Wartawan Sinar Harian, Norasikin Daineh berjaya merangkul hadiah utama bagi kategori Anugerah Laporan Berita (bukan rencana) Bahasa Melayu dalam Anugerah Kewartawanan Kinabalu (KPA) 2025 yang berlangsung pada malam Ahad.

Iklan

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, dalam ucapannya pada majlis itu mahu pengamal media menjalankan tugas dengan penuh integriti, berlandaskan prinsip kewartawanan yang profesional dan bertanggungjawab.

Beliau berkata, kejayaan dan informasi pelaksanaan dasar kerajaan turut bergantung kepada peranan penting media dalam menyampaikan maklumat secara jelas dan berkesan kepada rakyat.

Iklan

Dalam konteks pembangunan negeri katanya, kerajaan terus komited dalam melaksanakan pelbagai inisiatif yang memanfaatkan rakyat dan mempercepatkan kemajuan Sabah menerusi Pelan Pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya. 

“Sebagai pihak yang mempunyai jalinan kerjasama serta hubungan erat dengan kerajaan, media turut berfungsi menyampaikan maklumat berkaitan dasar-dasar pembangunan kerajaan negeri khususnya di bawah Pelan Pembangunan Hala Tuju SMJ,” katanya.

Ucapannya itu disampaikan oleh Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Joniston Bangkuai.

Justeru, beliau berharap kerjasama strategik terus dipertingkatkan dan hubungan baik antara semua pihak dapat diperkukuh untuk membantu kerajaan menyebarluaskan maklumat penting kepada rakyat berkaitan agenda pembangunan dan hala tuju kerajaan negeri.

“Laporan media juga membantu kerajaan mengetahui apa yang berlaku di peringkat akar umbi serta rintihan rakyat.

“Sudah tentunya, kerajaan sentiasa mengalu-alukan laporan dan liputan seperti ini daripada pengamal media, sebagai jambatan penghubung antara kerajaan dan rakyat,” katanya.

Beliau dalam pada itu turut berharap media sentiasa memainkan peranan penting sebagai penyedia maklumat yang dipercayai, penyampai berita yang sahih serta platform untuk memperoleh info yang lebih cepat dan tepat kepada masyarakat.

“KPA yang dianjurkan Persatuan Wartawan Sabah (SJA) dengan kerjasama kerajaan negeri dan penaja lain adalah untuk mengiktiraf dan menghargai komitmen serta keupayaan para pengamal media di negeri ini.

“Majlis ini juga mampu menjadi platform terbaik bagi mendorong para pengamal media untuk lebih bersemangat, fokus dan bertanggungjawab dalam menjalankan tugasan yang lebih telus serta beretika,” katanya.

Sehubungan itu, Hajiji berkata, kerajaan tidak pernah mengabaikan peranan penting media dalam masyarakat dengan memberikan sokongan berterusan kepada program seperti Majlis KPA ini melalui sumbangan dari segi tajaan kewangan.

“Kerajaan negeri amat menghargai dan memahami keperluan ini, malah bantuan tajaan juga meningkat setiap tahun.

“Saya juga mengucapkan tahniah kepada semua pemenang, teruskan usaha cemerlang dan jadikan kejayaan ini sebagai pemangkin untuk terus menyumbang kepada pembangunan negeri dan kesejahteraan rakyat melalui laporan berita yang berwibawa dan beretika,” katanya.

Sementara itu, Presiden SJA, Mariah Doksil berkata, sebanyak 268 penyertaan diterima dan telah dinilai oleh juri berpengalaman di bawah seliaan Institut Media Malaysia (MPI).

“Malam ini, kita berkumpul bukan sahaja untuk mengiktiraf karya-karya cemerlang tahun lepas, tetapi juga untuk meraikan semangat kewartawanan.

“Kita sering menjadi penyampai kepada kisah orang lain, kisah perjuangan, harapan, kejayaan dan perubahan. Namun, di sebalik setiap byline, kredit foto, rakaman audio dan visual, kita sebagai sosok tubuh di sebalik penghasilan karya-karya ini juga mempunyai kisah kita sendiri.

“Justeru, saya ingin menzahirkan penghormatan kepada anda semua yang terus melaporkan kebenaran, merakam momen dengan ketelitian dan menulis dengan berpaksikan etika kewartawanan,” katanya.