Sambutan Hari Peneroka luar biasa, bakar semangat peneroka ke Mega Karnival 3 Dimensi

Iklan
Ahmad Shabery (depan, tiga dari kanan) merasmikan Hari Peneroka Felda Madani Negeri Johor 2025 di Felda Tunggal, Kota Tinggi pada Ahad.

KOTA TINGGI – Sambutan Hari Peneroka Felda Madani Negeri Johor 2025 yang berlangsung di Felda Tunggal, di sini disifatkan sebagai antara karnival yang paling meriah dengan kehadiran seramai 15,127 pengunjung sepanjang tiga hari penganjurannya.

Pengerusi Felda, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, sambutan kali ini merupakan pembakar semangat kepada karnival lebih besar iaitu Mega Karnival 3 Dimensi yang akan diadakan di Kuala Lumpur bulan depan.

Iklan
Iklan

"Mega Karnival 3 Dimensi ini dijadualkan berlangsung pada 3 hingga 7 Julai 2025 di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), Kuala Lumpur.

“Karnival di Felda Tunggal yang luar biasa ini merupakan ‘pemanas badan’ sebelum Mega Karnival 3 Dimensi. Tahun lalu, lebih 500,000 warga Felda berhimpun di MAEPS Serdang.

Iklan

“Disebabkan itu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mahu ia dijadikan gabungan lebih besar kali ini bagi menghimpunkan warga desa dan luar bandar,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Hari Peneroka Felda Madani Negeri Johor 2025 di Felda Tunggal yang turut dihadiri Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi.

Iklan

Ahmad Shabery (empat dari kanan) menyerahkan Geran Sejati Madani pada Hari Peneroka Felda Madani Negeri Johor di Felda Tunggal Kota Tinggi.

Turut hadir, Ahli Parlimen Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman Said; Exco Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar negeri, Datuk Zahari Sarip; Exco Pendidikan dan Penerangan negeri, Aznan Tamin; Pegawai Daerah Kota Tinggi, Miswan Yunus dan Ketua Peneroka Felda Wilayah Johor Bahru, Sharon Ab Raman.

Program anjuran bersama Kerajaan Negeri Johor, Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) serta Bahagian Kawal Selia Felda (BKSF), Jabatan Perdana Menteri yang berlangsung sejak tiga hari lalu itu melabuhkan tirainya pada Ahad.

Sebanyak 74 reruai pameran dan jualan disediakan melibatkan agensi kerajaan, jabatan dalaman Felda, Kumpulan Felda, Kejora, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta peniaga kecil tempatan.

Sambutan itu bukan sahaja menjadi ruang untuk menghargai jasa peneroka Felda Johor, malah mengukuhkan sinergi antara kerajaan negeri dan Felda serta mempromosikan pembangunan desa secara inklusif ke arah Malaysia Madani.