HARYANA – Butiran mengerikan berhubung kes pembunuhan seorang wanita berusia 24 tahun dari Uttar Pradesh terbongkar selepas bapa mentua mangsa membuat pengakuan semasa disoal siasat oleh pihak polis.
Mangsa bukan sahaja dibunuh, malah turut dirogol oleh bapa mentuanya sebelum mayatnya ditanam dalam sebuah lubang di luar rumah.
Kehilangan wanita itu kekal menjadi misteri selama hampir dua bulan, dengan keluarga mentuanya mendakwa bahawa mangsa telah menghilangkan diri.
Namun, mayatnya akhirnya ditemui pada 21 Jun, tertanam di bawah papan konkrit di atas sebuah lubang sedalam 10 kaki yang terletak di luar kediaman keluarga mentuanya.
Menurut pihak polis, mangsa telah berkahwin di Faridabad pada Julai 2023 dan laporan awal menunjukkan bahawa dia sering dianiaya berikutan tuntutan mas kahwin sejak awal perkahwinan.
Siasatan lanjut mendedahkan bahawa pembunuhan itu telah dirancang pada 14 April.
Ibu mentua mangsa dihantar ke sebuah majlis perkahwinan di Etah, Uttar Pradesh, sebagai alibi.
Pada malam 21 April, suami mangsa didakwa mencampurkan pil tidur ke dalam makanan isteri dan adik perempuannya, menyebabkan kedua-duanya tidak sedarkan diri di bilik masing-masing.
Dalam pengakuannya, bapa mentua mangsa mendedahkan bahawa dia telah memasuki bilik menantunya pada lewat malam itu dengan niat untuk membunuh.
Namun, sebelum pembunuhan dilakukan, dia terlebih dahulu merogol menantunya yang tidak sedarkan diri. Perbuatan keji itu tidak diberitahunya kepada isteri mahupun anaknya.
Selepas serangan seksual tersebut, bapa mentua itu memanggil anaknya, dan mereka kemudian didakwa membungkus mayat wanita berkenaan sebelum mencampakkannya ke dalam lubang yang telah digali di jalan berhampiran rumah.
Bapa mentua mangsa kini ditahan reman oleh pihak polis selama tiga hari bagi membantu siasatan lanjut.
Berikutan penemuan tragis ini, satu laporan maklumat pertama (FIR) telah didaftarkan.