TEHERAN – Pemimpin Tertinggi Iran, Ayatollah Seyyed Ali Khamenei, mengucapkan tahniah kepada rakyat Iran atas apa yang disifatkan sebagai kemenangan ke atas rejim Zionis dan Amerika Syarikat dalam peperangan terbaharu, yang berakhir selepas Israel secara unilateral mengisytiharkan gencatan senjata.
Dalam ucapan yang disiarkan secara langsung di televisyen yang merupakan kali ketiga sejak pencerobohan Israel bermula pada 13 Jun Khamenei menegaskan bahawa rejim Zionis telah “ditumpaskan di bawah serangan angkatan bersenjata Iran”.
Iklan
Iklan
“Saya ingin merakamkan tahniah kepada rakyat Iran atas kemenangan terhadap rejim Zionis. Meskipun banyak gembar-gembur dan dakwaan mereka, rejim itu hampir rebah dan dihancurkan oleh serangan Republik Islam,” kata beliau.
Khamenei turut memuji para syuhada termasuk komander tentera dan saintis yang gugur dalam konflik tersebut, dan menyifatkan mereka sebagai “amat bernilai dan setia dalam perjuangan hingga ke akhir hayat”.
Beliau menyatakan bahawa keupayaan Iran untuk melancarkan serangan yang memusnahkan struktur ketenteraan dan bandar Israel adalah sesuatu yang tidak pernah terlintas dalam fikiran musuh.
“Kita panjatkan kesyukuran kepada ALLAH kerana mengurniakan kekuatan kepada angkatan bersenjata kita untuk menembusi sistem pertahanan pelbagai lapisan Israel dan melumpuhkan kawasan ketenteraan serta bandar mereka dengan serangan peluru berpandu yang dahsyat,” katanya.
Khamenei menegaskan bahawa serangan itu membuktikan kepada rejim Zionis bahawa sebarang pencerobohan terhadap Iran akan mengundang balasan yang sangat berat. - Agensi