Dua lelaki ditahan simpan pelanduk, burung merbah

Iklan
Antara rampasan yang dibuat dalam sekatan jalan raya di Taman Chengal, di Temerloh pada Jumaat. FOTO: IPD TEMERLOH

TEMERLOH – Tindakan dua lelaki menyimpan pelanduk dan burung merbah tanpa permit membawa padah apabila mereka dicekup dalam sekatan jalan raya di Taman Chengal, di sini, malam Jumaat.

Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner Mazlan Hassan berkata, kedua-dua suspek berusia 32 dan 50 tahun itu ditahan dalam operasi kolaborasi Polis Diraja Malaysia (PDRM) bersama Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan).

Iklan
Iklan

Menurutnya, operasi yang dijalankan bermula jam 8.30 malam hingga 12.01 tengah malam itu melibatkan seramai 51 pegawai dan anggota yang terdiri daripada PDRM dan Perhilitan.

“Dalam pemeriksaan ke atas sebuah Toyota Hilux yang dinaiki kedua-dua lelaki itu, kami menemui tiga ekor pelanduk dan seekor burung merbah.

Iklan

“Selain itu, kami turut merampas 18 biji peluru penabur, lima perangkap kamera, dua bilah parang, dua unit telefon bimbit serta pelbagai peralatan menjerat haiwan.

"Kami sedang menjalankan siasatan untuk mengesan senjata yang digunakan," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Iklan

Tambahnya, suspek yang ditahan masing-masing berasal dari Taman Sri Kerinau, Temerloh dan Taman Bukit Cermin, Mentakab.

“Kes disiasat di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716) kerana memiliki haiwan dilindungi tanpa permit sah,” ujarnya.

Mazlan berkata, dalam operasi itu juga pihaknya melakukan pemeriksaan ke atas 13 motosikal, enam lori, 35 kenderaan pacuan empat roda, dua kereta dan 26 individu.