LUCKNOW – Babak dalam klip yang tular ini tidak ubah seperti filem Gladiator versi Bollywood.
Seorang buruh binaan berusia 35 tahun di negeri Uttar Pradesh, India nekad bertarung habis-habisan dengan seekor harimau bintang demi menyelamatkan nyawanya.
Menariknya, dia hanya menggunakan kekuatan fizikal dan kemahiran bergusti tanpa sebarang senjata.
Rakaman video yang telah ditonton lebih 350,000 kali selepas dimuat naik ke platform X pada awal minggu lalu menunjukkan ‘aksi perkasa’ Mihilal Gautam berusaha melawan haiwan liar tersebut ketika kejadian di sebuah kilang bata.
Menurut laporan The Indian Express, haiwan tersebut pada mulanya bersembunyi di dalam cerobong asap dan menerkam Gautam secara tiba-tiba ketika dia mahu mengutip abu.
Beberapa pekerja lain yang berada di kawasan lebih tinggi mendengar jeritannya dan segera berkumpul di sekitar tempat kejadian.
Mereka kemudiannya membaling bata berat ke arah harimau bintang itu dan ia akhirnya melarikan diri ke kebun pisang berhampiran.
Susulan insiden pertarungan luar biasa itu, Gautam dilaporkan mengalami kecederaan serius dan sedang menerima rawatan.
“Dia bergelut dengan harimau bintang itu tanpa sebarang senjata dan ajaibnya masih hidup. Ia bukan kejadian yang dapat kita lihat setiap hari,” kata renjer hutan, Nripendra Chaturvedi. – Agensi