Pelan insurans kesihatan perlu mudah diakses, tiada beban birokrasi - Lam Thye

Iklan
Tan Sri Lee Lam Thye

SHAH ALAM - Pelan Insurans Kesihatan Asas yang dicadangkan kerajaan perlu mengambil kira pelbagai aspek agar dapat menjamin pembiayaan kesihatan yang mampan dan memperluaskan lagi akses kepada rawatan berkualiti.

Pengerusi Pertubuhan Ikatan Komuniti Selamat, Tan Sri Lee Lam Thye berkata, lima penekanan yang perlu diberikan perhatian ialah mampu milik dan mudah diakses, perlindungan asas yang menyeluruh, mudah difahami dan tidak membebankan birokrasi.

Iklan
Iklan

"Selain itu, subsidi kerajaan untuk golongan memerlukan dan pemantauan serta pengawalseliaan yang berkesan.

“Kami menyambut baik dan menyokong cadangan kerajaan untuk memperkenalkan Pelan Insurans Kesihatan Asas kepada semua rakyat Malaysia.

Iklan

"Inisiatif ini amat penting dan telah lama dinantikan untuk memastikan akses kesihatan yang saksama, mampu milik dan inklusif khususnya kepada golongan B40 dan mereka yang kurang berkemampuan.

“Kita sedia maklum bahawa kos rawatan kesihatan semakin meningkat dari tahun ke tahun, menyukarkan rakyat berpendapatan rendah mendapatkan rawatan untuk penyakit kronik, kecemasan dan perkhidmatan kesihatan pencegahan," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat

Iklan

Menurutnya, dengan adanya pelan insurans kesihatan asas ini, ia dapat memberikan perlindungan kewangan kepada rakyat, mengurangkan beban kos rawatan, serta mengelakkan mereka daripada terjerumus ke dalam kemiskinan akibat kos perubatan yang tinggi.

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan sebelum ini memaklumkan bahawa kerajaan sedang mempertimbangkan langkah untuk memperkenalkan skim insurans asas bagi mengurangkan kesan inflasi kos perubatan yang membimbangkan rakyat.

Jelasnya, kerajaan telah menubuhkan satu jawatankuasa bersama dengan kerjasama Kementerian Kewangan, Bank Negara Malaysia (BNM), Kementerian Kesihatan dan beberapa agensi berkaitan.

Tambah Lam Thye, pelan itu juga dilihat sebagai pelengkap kepada sistem kesihatan awam sedia ada dengan mewujudkan tanggungjawab bersama antara kerajaan dan rakyat.

“Ia penting bagi menjamin pembiayaan kesihatan yang mampan dan memperluaskan lagi akses kepada rawatan berkualiti. Kejayaan pelan ini juga bergantung kepada ketelusan, pelaksanaan yang cekap dan pendekatan yang inklusif.

“Selain itu, usaha mendidik dan memberi kesedaran kepada orang ramai tentang kepentingan dan manfaat pelan ini juga amat penting bagi membina keyakinan dan memastikan penglibatan rakyat secara menyeluruh,” katanya.

Beliau turut mengalu-alukan langkah kerajaan itu dan berharap pelan insurans kesihatan asas tersebut akan dirangka dengan teliti dan berpaksikan kepada keperluan rakyat.

“Ini bukan sekadar dasar, tetapi satu pelaburan untuk masa depan negara yang lebih sihat, sejahtera dan berdaya tahan,” jelas beliau.