Pemandu maut, empat cedera nahas dua kereta

Iklan
Anggota bomba sedang berusaha menjalankan kerja-kerja pembersihan bagi memastikan tiada risiko kebakaran atau kemalangan susulan.

KEPALA BATAS - Seorang lelaki maut manakala empat yang lain cedera ringan dalam kemalangan melibatkan dua buah kereta di Kilometer 127.8 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah selatan, pada pagi Jumaat.

Kemalangan melibatkan kereta jenis Proton Wira dan Proton Saga BLM.

Iklan
Iklan

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, Mohamad Shoki Hamzah berkata, dalam kejadian kira-kira jam 7.51 pagi itu, mangsa yang maut dikenal pasti sebagai Wan Syamilludin Wan Radzi berusia 33 tahun.

Menurutnya, mangsa merupakan pemandu kereta jenis Proton Wira.

Iklan

"Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pasukan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

"Turut menaiki kereta berkenaan ialah Nazirah Zainuddin, 31 yang mengalami kecederaan di bahagian tulang belakang serta dua kanak-kanak iaitu Wan Adam Hafiz, 8 dan Wan Aisyah Nazifa, 6, yang masing-masing cedera ringan," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Iklan

Sementara itu, pemandu Proton Saga BLM, 35, turut mengalami kecederaan ringan.

"Kesemua mangsa telah dikeluarkan oleh orang awam sebelum ketibaan pasukan penyelamat.

“Pasukan bomba yang tiba pada jam 8.02 pagi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kepala Batas kemudiannya menjalankan kerja-kerja pembersihan bagi memastikan tiada risiko kebakaran atau kemalangan susulan," ujarnya.

Tambah beliau, operasi tamat sepenuhnya pada jam 8.39 pagi dan kes diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

"Seramai enam anggota bomba bersama satu jentera FRT dan satu unit Pasukan Perkhidmatan Penyelamatan Perawatan Kecemasan (EMRS) terlibat dalam operasi berkenaan dengan bantuan pihak polis dan KKM.

"Kesemua mangsa yang cedera telah dihantar ke Hospital Seberang Jaya untuk menerima rawatan lanjut," katanya lagi.