Perluasan SST bakal cetus gelombang inflasi senyap - Ka Siong

Iklan
Ka Siong (gambar kecil) berkata penyelesaian bagi permasalahan berkenaan adalah menerusi pelaksanaan semula GST - Gambar hiasan

SHAH ALAM – Perluasan pelaksanaan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST), termasuk cukai ke atas bahan mentah dan jentera industri dijangka menyebabkan berlaku gelombang kenaikan harga menyeluruh dalam tempoh beberapa bulan akan datang.

Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata, satu gelombang inflasi senyap turut akan dirasai oleh semua lapisan masyarakat susulan perluasan cukai berkenaan.

Iklan
Iklan

“Masalah sebenar yang lebih bahaya sekarang ialah apabila bahan mentah dan mesin kilang turut dikenakan cukai.

“Hampir semua persatuan industri dari sektor getah, plastik, perubatan, besi, minyak sawit serta Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM) telah mengeluarkan kenyataan tegas bahawa perluasan SST kali ini merangkumi 97 peratus barangan di pasaran.

Iklan

“Lebih malang lagi, kenaikan SST ini berlaku pada hari yang sama dengan kenaikan tarif elektrik dan tarif pelabuhan di Klang,” katanya dalam satu video yang dikongsi di Facebook pada Khamis.

Pada 9 Jun lepas, kerajaan mengumumkan semakan bersasar kadar SST yang akan berkuat kuasa mulai 1 Julai tahun ini.

Iklan

Ahli Parlimen Ayer Hitam itu turut menjangkakan harga minyak RON95 juga bakal meningkat selepas tarikh 1 Julai ini.

Menurut beliau, pihaknya menyambut baik sekiranya kerajaan mahu menyemak semula cukai ke atas buah-buahan.

“Bagaimanapun, itu tidak mencukupi. Bahaya sebenar adalah pada cukai ke atas bahan mentah dan jentera industri.

“Ia perlu disemak semula, dikaji atau lebih baik dibatalkan sahaja sebelum terlambat. Jika tidak, gelombang (kenaikan) harga yang akan datang ini tidak dapat disekat lagi,” ujarnya.

Tambah Ka Siong, penyelesaian bagi permasalahan berkenaan adalah menerusi pelaksanaan semula Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST).

“Perbezaan utama antara GST dan SST ialah GST hanya dikenakan kepada pengguna akhir, manakala SST dikenakan berlapis pada setiap peringkat rantaian, menyebabkan harga akhir kepada pengguna menjadi jauh lebih tinggi.

“Ini mengelakkan cukai berganda dan membantu menstabilkan harga barang berbanding SST.

“Cukai ke atas cukai, akhirnya kos melambung tinggi,” katanya lagi.