Lelaki maut ditikam rakan serumah

Iklan
Mangsa berusia 33 tahun, ditemui terbaring dengan kesan tikaman di bahagian dada sebelah kiri. Gambar hiasan

SUNGAI BULOH – Seorang lelaki maut dipercayai ditikam rakan serumahnya dalam kejadian di Kampung Kubu Gajah, Sungai Pelong, di sini pada Rabu.

Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintenden Mohd Hafiz Muhammad Nor berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan menerusi Pusat Kawalan Gerakan (DCC) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sungai Buloh kira-kira jam 11.26 malam.

Iklan
Iklan

Beliau berkata, maklumat diterima berkaitan satu pergaduhan yang berlaku di sebuah rumah sebelum sepasukan anggota polis digerakkan ke lokasi kejadian.

“Sebaik tiba, anggota bertugas mendapati dua lelaki tempatan berada di ruang tamu rumah tersebut.

Iklan

“Salah seorang daripadanya, iaitu seorang lelaki berusia 33 tahun, ditemui terbaring tidak sedarkan diri dengan kesan tikaman di bahagian dada sebelah kiri,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Katanya, seorang lagi lelaki yang dipercayai suspek berusia 40 tahun turut berada di lokasi dan telah ditahan untuk siasatan lanjut.

Iklan

“Petugas perubatan dari Hospital Sungai Buloh kemudiannya tiba di lokasi pada jam 12.01 tengah malam dan mengesahkan mangsa meninggal dunia di tempat kejadian.

“Siasatan awal mendapati kedua-dua mereka merupakan rakan serumah dan baru sahaja datang dari Kelantan tiga hari lalu,” katanya.

Menurutnya, pihak polis turut merampas sebilah pisau yang dipercayai digunakan suspek untuk menikam mangsa.

“Mayat mangsa dihantar ke Jabatan Forensik, Hospital Sungai Buloh untuk bedah siasat.

“Suspek yang ditahan telah dibawa ke Mahkamah Shah Alam bagi permohonan reman dan mahkamah membenarkan reman selama enam hari untuk siasatan lanjut,” katanya.

Mohd Hafiz berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

“Orang ramai diminta agar tidak membuat sebarang spekulasi berkaitan kejadian.

“Sekiranya mempunyai maklumat, orang ramai boleh menghubungi Balai Polis Sungai Pelong di talian 03-6038 3322 atau Pegawai Penyiasat, Inspektor Nurnazihah Norzilan di talian 011-1149 9008,” katanya.