KKM rayu peserta himpunan tabligh jalani saringan Covid-19

Iklan
Dr Adham Baba (duduk; tengah) ketika sidang akhbar selepas melakukan lawatan kerja di Hospital Sungai Buloh hari ini. -Foto: Bernama

SUNGAI BULOH - Kementerian Kesihatan merayu semua peserta Perhimpunan Bersama Ulama di Masjid Jamek Bandar Baru Sri Petaling pada 28 Februari lalu segera membuat saringan Covid-19.

Menterinya, Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, pihaknya kini sedang menjejaki peserta himpunan tabligh berkenaan susulan seorang peserta dari Brunei dikesan positif virus itu selepas pulang daripada majlis tersebut.

Iklan
Iklan

Menurutnya, dua peserta himpunan berkenaan telah dikesan positif Covid-19 masing-masing dari Tawau, Sabah dan Kuantan, Pahang.

"Kita merayu kepada semua yang pergi ke himpunan itu untuk datang membuat saringan dan kita sedaya upaya untuk memberikan keselesaan.

Iklan

"Kita ada 57 hospital yang boleh membuat saringan," katanya pada sidang akhbar selepas mengadakan lawatan di Hospital Sungai Buloh di sini hari ini.

Beliau berkata, Masjid Jamek Bandar Baru Sri Petaling itu akan ditutup sementara dalam masa terdekat bagi membolehkan proses disinfeksi dilakukan.

Iklan

"Kita tak tutup masjid sebab itu saya harap mereka yang ada simptom-simptom demam, selesema, batuk dan sesak nafas agar menjauhi orang ramai. Ini demi kebaikan bersama," katanya.

Dr Adham Baba. - Foto Bernama

Ditanya mengenai rakyat Malaysia yang mahu pulang daripada negara-negara yang disekat seperti Itali, Korea Selatan dan Iran, Adham berkata, tidak menjadi masalah kerana setiap pintu masuk negara mempunyai pengimbas haba.

"Sekiranya ada simptom Covid-19, kita bawa ke hospital untuk saringan dan jika positif rawatan akan diberikan," katanya.

Mengulas lanjut, Covid-19 telah memasuki fasa kedua di Malaysia dan pihak KKM kini berada dalam keadaan bersiap-siaga.

"Tahap siap-siaga berada di tahap tertinggi. Kita boleh menerima kes-kes sekiranya ia menular dengan pantas.

"Fasa pertama Covid-19 di mana pesakit daripada luar negara yang dijangkiti berjaya di kekang. Apa yang kita lalui sekarang ialah kontak dalam negara dan penularan antara kontak selepas mereka bertemu," katanya.

Ditanya lagi mengenai keadaan Malaysia selepas ia disytiharkan sebagai oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), beliau menjelaskan ia masih peringkat awal bagi negara ini.

Menyentuh soal topeng muka yang dikatakan tidak mencukupi bagi kegunaan rakyat Malaysia, beliau turut menjelaskan kerajaan akan berusaha memastikan ia cukup dalam masa terdekat.