PUTRAJAYA - Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman memberitahu belum terfikir untuk merancang fasa seterusnya bersama penyanyi, Bella Astillah.
Syed Saddiq, 33, berkata demikian selepas sidang akhbar sejurus Mahkamah Rayuan di sini pada Rabu, membenarkan rayuannya untuk mengetepikan sabitan dan hukuman berhubung empat kes menyeleweng dana Armada, tujuh tahun lalu.
Ditanya mengenai teka-teki keakraban perancangan selepas dibebaskan daripada kes jenayah itu, bekas Menteri Belia dan Sukan itu berkata, fokus utama ialah meraikan kemenangan ini bersama keluarga.
"Buat masa ini, saya hanya mahu bawa mereka keluar makan,” katanya.
Bagaimanapun, ketika ditanya sama ada Bella akan turut serta dalam sesi makan tersebut, Syed Saddiq hanya tersenyum dan enggan memberi komen.
Terdahulu, Bella dilihat gagal menahan air mata selepas Mahkamah Rayuan di sini, pada Rabu melepaskan dan membebaskan Syed Saddiq daripada empat pertuduhan berkaitan penyelewengan dana ARMADA yang berlaku tujuh tahun lalu.
Pertuduhan tersebut melibatkan satu kes subahat pecah amanah dana berjumlah RM1 juta, satu pertuduhan salah guna harta sebanyak RM120,000 dan dua pertuduhan pengubahan wang haram (AMLA), masing-masing berjumlah RM50,000.
Panel tiga hakim yang diketuai Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim, bersidang bersama Datuk Azman Abdullah dan Datuk Noorin Badaruddin, membenarkan rayuan Syed Saddiq untuk mengetepikan sabitan bersalah serta hukuman yang sebelum ini diputuskan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.
Susulan keputusan itu, anak kelahiran Johor Bahru tersebut terlepas daripada hukuman penjara tujuh tahun, dua sebatan dan denda RM10 juta.