Warga Indonesia selamba jalan kaki bawa dadah 20kg

Iklan
Dadah jenis syabu yang dirampas daripada seorang buruh warga Indonesia di kawasan Melawati Mall, Taman Melawati, Ampang, Selangor pada Ahad. Foto PDRM

AMPANG – Seorang buruh warga Indonesia ditahan polis kerana memiliki dadah jenis syabu lebih 20 kilogram (kg) pada Ahad.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail berkata, lelaki tersebut ditahan di kawasan Melawati Mall, Taman Melawati di sini ketika sedang berjalan kaki sambil menjinjit satu beg kanvas dengan tangan kanannya pada jam 12.35 tengah hari.

Iklan
Iklan

Beliau berkata, hasil pemeriksaan terhadap beg yang dibawa itu telah menjumpai dadah berkenaan.

“Bungkusan plastik hitam di dalamnya mengandungi 20 paket plastik bertulisan dan dalam setiap bungkusan terdapat satu bungkusan plastik lutsinar berisi syabu.

Iklan

“Nilai keseluruhan rampasan dadah tersebut dianggarkan bernilai RM80,000.

“Rampasan dadah itu dipercayai mampu menampung keperluan kira-kira 20,850 penagih dadah di kawasan Lembah Klang,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Iklan

Menurut beliau, lelaki berusia 50 tahun itu telah tinggal di Malaysia selama lebih kurang 10 tahun.

Katanya, saringan ujian air kencing mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine dan amphetamine.

Namun begitu, semakan mendapati suspek tidak mempunyai rekod lampau.

Jelasnya, permohonan reman pertama ke atas suspek telah dibenarkan selama tujuh hari sehingga Ahad.

Tambahnya, kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

“Hukuman di bawah seksyen yang sama, jika disabit kesalahan, boleh dihukum gantung sampai mati atau penjara seumur hidup dan sebatan tidak kurang daripada 12 kali,” ujarnya.