Pasukan peguam Syed Saddiq tiba di mahkamah

Iklan
Pasukan peguam Syed Saddiq tiba di Mahkamah Rayuan bagi mendengar keputusan.

PUTRAJAYA – Pasukan peguam kepada Ahli Parlimen Muar, Datuk Mohd Yusof Zainal Abiden dan Datuk Hisyam Teh Poh Teik, tiba di Mahkamah Rayuan pada jam 7.40 pagi, Rabu, bagi mendengar keputusan rayuan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Keputusan dijangka diumumkan oleh panel tiga hakim Mahkamah Rayuan, iaitu Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim, Datuk Azman Abdullah dan Datuk Noorin Badaruddin pada jam 9 pagi.

Iklan
Iklan

Terdahulu, ibu bapa kepada Syed Saddiq tiba pada jam 7.38 pagi bagi memberikan sokongan kepada anak mereka. Bagaimanapun, kelibat Syed Saddiq masih belum kelihatan setakat ini.

Ahli Parlimen Muar itu memfailkan rayuan terhadap sabitan dan hukuman atas pertuduhan bersubahat melakukan pecah amanah, salah guna harta serta pengubahan wang haram membabitkan dana Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada).

Iklan

Syed Saddiq, 32, didakwa bersubahat bersama bekas Penolong Bendahari Armada, Rafiq Hakim Razali, yang diamanahkan dengan dana Armada berjumlah RM1 juta, untuk melakukan pecah amanah dengan menyalahgunakan dana tersebut.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di CIMB Bank Berhad, Menara CIMB KL Sentral, Jalan Stesen Sentral 2, di sini pada 6 Mac 2020. Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 406 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dengan sebatan serta boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Iklan

Bagi pertuduhan kedua, Syed Saddiq didakwa menyalahgunakan harta untuk kegunaan sendiri, iaitu wang berjumlah RM120,000 daripada akaun Maybank Islamic Berhad milik Armada Bumi Bersatu Enterprise, dengan menyebabkan Rafiq Hakim melupuskan wang berkenaan.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Malayan Banking Berhad, Jalan Pandan 3/6A, Taman Pandan Jaya, di sini antara 8 hingga 21 April 2018, mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara minimum enam bulan dan maksimum lima tahun, dengan sebatan dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Selain itu, Syed Saddiq turut berdepan dua pertuduhan melibatkan diri dalam aktiviti pengubahan wang haram, iaitu memindahkan masing-masing RM50,000 daripada akaun Maybank Islamic Berhad miliknya ke akaun Amanah Saham Bumiputera, yang merupakan hasil daripada aktiviti haram.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah bank di Jalan Persisiran Perling, Taman Perling, Johor Bahru pada 16 dan 19 Jun 2018. Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001.

Jika disabitkan kesalahan, hukuman di bawah Seksyen 4(1) akta berkenaan memperuntukkan penjara maksimum 15 tahun dan denda lima kali ganda jumlah atau hasil aktiviti haram.