KUALA SELANGOR – Seorang warga emas dilaporkan hilang selepas keluar dari rumahnya di Taman Seri Kuantan, di sini, pada Ahad.
Lelaki berkenaan dikenali sebagai Mohd Rosli Mansor, 70, kali terakhir dilihat menunggang motosikal Yamaha Ego berwarna hitam bernombor pendaftaran BKP 5153 di sekitar Kampung Kuantan dan dipercayai menghala ke kawasan Kuala Selangor.
Iklan
Iklan
Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintenden Azaharudin Tajuddin berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kehilangan lelaki itu kira-kira jam 7.31 malam.
“Kehilangan lelaki itu berlaku sekitar jam 5.30 petang pada hari kejadian dan sehingga kini, mangsa masih belum pulang. Usaha mengesannya sedang giat dijalankan,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Sehubungan itu, beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian tersebut supaya menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Selangor di talian 03-3289 1222 atau mana-mana balai polis berhampiran.