IPOH – Seramai 106 calon Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2024 di Perak berjaya memperoleh Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 4.0.
Pengarah Pendidikan Negeri Perak, Safuan Raba’ai berkata, jumlah itu sekali gus mencatat peningkatan 24 calon berbanding 82 orang pada tahun sebelumnya.
Menurutnya, daripada jumlah tersebut, lapan calon merupakan pelajar aliran sains, manakala 98 calon daripada aliran sains sosial.
"Sukacita dimaklumkan bahawa PNGK negeri Perak STPM 2024 telah meningkat sebanyak 0.02 mata berbanding tahun 2023 iaitu dari 2.83 pada tahun 2023 kepada 2.85 pada tahun 2024.
"PNGK negeri Perak pada tahun ini juga merupakan PNGK negeri tertinggi sejak sistem semester diperkenalkan pada tahun 2013,” katanya pada sidang media Pengumuman Keputusan STPM 2024 di Bilik Seri Budi, Jabatan Pendidikan Negeri Perak di sini pada Selasa.
Safuan berkata, seramai 3,129 calon mendaftar untuk menduduki peperiksaan STPM melibatkan 58 sekolah di seluruh negeri dan daripada jumlah itu, 3,038 calon atau 98.68 peratus hadir untuk ketiga-tiga semester.
Jelasnya, peratusan calon yang lulus penuh juga meningkat kepada 99 peratus (3,057 calon) berbanding 98.21 peratus (3,012 calon) pada tahun lalu.
Menurutnya, sebanyak 43 buah sekolah mencatat pencapaian lulus 100 peratus dan jumlah tersebut meningkat berbanding hanya 35 sekolah pada 2023.
Beliau turut memaklumkan seramai tiga calon memperoleh 5A dalam semua mata pelajaran yang diambil manakala 103 calon mendapat 4A dengan peningkatan 23 orang berbanding 80 orang pada tahun lalu.
Safuan berkata, seramai 13 calon Orang Asli menduduki STPM 2024 dan dua daripadanya berjaya memperoleh PNGK 3.0 ke atas iaitu Sira Suhairi dari SMK Toh Muda Abdul Aziz (3.09) dan Siti Nur Amylia Razali dari Kolej Tingkatan Enam Tapah (3.08).
Turut membanggakan, lima daripada 11 calon berkeperluan khas (CBK) berjaya memperoleh PNGK 3.0 ke atas antaranya Muhamad Afiq Hakim Ridzuan dari Kolej Tingkatan Enam Tapah dengan PNGK 3.83 dan Chai Denny's dari SMK Methodist Sitiawan (3.50).
Sementara itu, seorang calon cemerlang negeri Perak, Looi Wan Wei dari SMK Sam Tet, Ipoh, turut terpilih menghadiri Majlis Anugerah Pelajar Terbaik STPM dan MUET Peringkat Kebangsaan 2024 yang berlangsung di Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM).
Antara sekolah yang mencatatkan bilangan tertinggi calon mendapat PNGK 4.0 ialah SMK Sultan Yussuf, Batu Gajah (7 calon), SMK St Michael, Ipoh (6 calon), SMK Jalan Tasek, Ipoh (6 calon) dan SMK King Edward VII, Taiping (6 calon).
Dari segi pecahan daerah, Kinta Utara mencatat jumlah tertinggi calon cemerlang dengan 34 orang, diikuti Larut Matang Selama (22), Kinta Selatan (13), Bagan Datuk (7) dan Hulu Perak (5).