KLUANG – Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menyerahkan sepenuhnya kepada pihak polis untuk menjalankan siasatan berhubung penahanan reman seorang guru wanita di Sungai Petani, Kedah.
Ketua Setiausahanya, Datuk Dr Aminuddin Hassim berkata, pihak kementerian mengambil pendirian untuk tidak mencampuri siasatan bagi mengelakkan sebarang kenyataan yang boleh menimbulkan kekeliruan.
“Kita serahkan sepenuhnya kepada pihak berkuasa, terutamanya polis, untuk melaksanakan siasatan mengikut prosedur yang ditetapkan," katanya.
Beliau ditemui selepas Majlis Pelancaran Sekolah Angkat Malaysia Madani di Sekolah Kebangsaan Seri Kampung Tengah, di sini, pada Isnin.
Pada Ahad, media melaporkan seorang guru yang disyaki memukul kanak-kanak lima tahun ketika latihan bola jaring direman selama tiga hari hingga 24 Jun bagi membantu siasatan.
Permohonan reman ke atas wanita berusia 24 tahun itu dibuat di Kompleks Mahkamah Sungai Petani dan selesai kira-kira jam 10 pagi Ahad.