KUALA LUMPUR - Timbalan Perdana Menteri dan menteri Kabinet merakamkan ucapan takziah kepada Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg atas pemergian isteri beliau, Puan Sri Juma’ani Tuanku Bujang pada Isnin.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dalam satu kenyataan menyifatkan pemergian Allahyarham sebagai satu kehilangan besar buat Premier Sarawak serta rakyat negeri itu.
"Pemergian insan tercinta yang telah menjadi teman hidup setia, pendamping dalam suka dan duka serta penyokong utama dalam perjalanan kepimpinan YAB Premier pastinya satu kehilangan amat besar dan mendalam.
"Allahyarham yang saya kenali adalah seorang wanita lemah lembut, penuh budi pekerti serta amat dekat dengan kerja-kerja kebajikan dan kemasyarakatan, khususnya dalam memperkasakan wanita dan komuniti di Sarawak," katanya.
Beliau berkata, kehilangan Allahyarham bukan sahaja dirasai oleh keluarga terdekat, malah turut diratapi seluruh rakyat Sarawak yang amat menghargai jasa dan sumbangan beliau selama ini.
"Saya mewakili kerajaan Persekutuan hadir pagi ini menziarahi keluarga YAB Premier Sarawak, menyampaikan ucapan takziah dan menyatakan solidariti serta doa seluruh warga Malaysia atas kehilangan yang amat dirasai ini.
"Saya mendoakan agar roh Allahyarham dicucuri rahmat, diampunkan segala dosanya dan ditempatkan dalam kalangan para solihin. Semoga YAB Premier dan seluruh keluarga dikurniakan kekuatan, ketabahan serta reda dalam menghadapi saat yang penuh ujian ini,” katanya.
Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof menerusi catatan di laman Facebook turut menyampaikan rasa sedih dan dukacita atas pemergian Allahyarham yang disifatkan sebagai kehilangan besar buat rakyat Sarawak.
"Ia satu kehilangan besar bukan sahaja kepada ahli keluarga Almarhumah tetapi juga seluruh rakyat Sarawak. Salam takziah kepada YAB Premier dan seluruh ahli keluarga Almarhumah," katanya.
Dalam pada itu, beberapa menteri Kabinet turut menzahirkan ucapan takziah kepada Premier Sarawak serta keluarga menerusi kenyataan dan hantaran di media sosial.