Mohamad Hasan bincang konflik terkini bersama Menteri Luar Iran

Iklan
Mohamad mengadakan pertemuan dengan rakan sejawatnya dari Iran, Abbas Araghchi di luar Mesyuarat Majlis Menteri-menteri Luar OIC ke-51 di Istanbul, Turkiye. Foto Wisma Putra

KUALA LUMPUR - Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan menggesa agar semua pihak mengawal tindakan masing-masing bagi mengelak peningkatan ketegangan di Timur Tengah.

Kementerian Luar Negeri yang turut dikenali sebagai Wisma Putra dalam catatan di Facebook pada Isnin memaklumkan Mohamad membuat kenyataan itu semasa pertemuan dengan rakan sejawatnya dari Iran, Abbas Araghchi di luar Mesyuarat Majlis Menteri-menteri Luar Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) ke-51 di Istanbul, Turkiye.

Iklan
Iklan

"Kedua-dua menteri membincangkan perkembangan semasa berikutan serangan terbaharu ke atas Iran," menurut kementerian itu.

Ketegangan tercetus pada 13 Jun apabila Israel melancarkan serangan udara di beberapa lokasi di seluruh Iran, termasuk kemudahan ketenteraan dan nuklear, menyebabkan Tehran bertindak balas.

Iklan

Pada Ahad, Amerika Syarikat melakukan serangan udara ke atas tiga tapak nuklear Iran yang mencetuskan ketakutan dan kecaman di seluruh dunia. - Bernama

 

Iklan