GEORGE TOWN – Seorang anggota polis cedera di bahagian mata selain mengalami lebam di dada selepas ditumbuk dan digigit dua lelaki dalam kejadian di pos pengawal Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang, di sini, pada Ahad.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Abdul Rozak Muhammad berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 4.30 petang semasa anggota terbabit bertugas dan menahan dua lelaki tempatan dalam keadaan mencurigakan di hadapan pagar IPK Pulau Pinang.
Menurutnya, anggota terbabit telah menjalankan pemeriksaan terhadap mereka dan mendapati kedua-dua suspek disyaki berada dalam keadaan mabuk.
“Kedua-dua suspek telah dibawa masuk ke dalam pos pengawal untuk pemeriksaan lanjut.
“Bagaimanapun, mereka telah bertindak agresif dengan menumbuk pipi dan menggigit dada pengadu sehingga menyebabkan pengadu mengalami kecederaan iaitu bengkak di mata kiri dan lebam di dada,” katanya dalam satu kenyataan di sini, pada Isnin.
Abdul Rozak berkata, tidak berpuas hati dengan tindakan anggota polis terbabit, kedua-dua suspek juga dikatakan mengeluarkan kata-kata kesat terhadapnya.
Katanya, kedua-dua suspek yang berumur 19 dan 20 tahun telah ditahan dan disiasat di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kecederaan.
Tambahnya, mereka juga akan disiasat mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955 kerana mengeluarkan kata-kata kurang sopan dan menghina.
“Kedua-dua suspek kini direman selama tiga hari sehingga 25 Jun depan untuk siasatan lanjut,” katanya lagi.