Manchester City pamer kekuatan, bantai habis Al-Ain

Iklan
Gundogan (kanan) ketika melakukan percubaan yang menghasilkan jaringan gol keempat City ketika berdepan Al-Ain dalam aksi Kumpulan G Piala Dunia Kelab FIFA di Stadium Mercedes-Benz, Atlanta. Foto: AFP

GERGASI Liga Perdana Inggeris, Manchester City tidak berdepan masalah besar apabila membenam kelab Emiriah Arab Bersatu (UAE), Al-Ain 6-0 pada aksi Piala Dunia Kelab FIFA pada Isnin, sekali gus mengesahkan tempat ke pusingan kalah mati dari Kumpulan G bersama Juventus.

Pemain tengah antarabangsa Jerman, Ilkay Gundogan menjadi inspirasi kemenangan bergaya skuad kendalian Pep Guardiola apabila meledak dua gol pada minit kesembilan dan ke-73 dalam perlawanan yang berlangsung di Stadium Mercedes-Benz, Atlanta, Georgia itu.

Iklan
Iklan

Turut mencetak nama selaku penjaring ialah pemain remaja Argentina, Claudio Etcheverri menerusi sepakan percuma, disusuli penalti penyerang berbisa, Erling Haaland sebelum tamat babak pertama.

Dua jaringan pada 10 minit terakhir perlawanan menerusi pemain gantian, Oscar Bobb dan pemain baharu, Rayan Cherki melengkapkan kemenangan bergaya City, sekali gus menyamai perbezaan jaringan dengan Juventus yang sebelum itu menewaskan Wydad Casablanca 4-1.

Iklan

Manchester City dan Juventus dijadualkan bertemu dalam perlawanan terakhir kumpulan di Stadium Camping World, Orlando, Florida pada Jumaat ini bagi menentukan juara kumpulan yang akan mara ke pusingan 16 pasukan terbaik.

“Satu persembahan yang sangat baik. Saya fikir kami memiliki banyak peluang pada babak pertama, dan juga pada penghujung separuh masa kedua.

Iklan

“Saya rasa keputusan ini sudah cukup membuktikannya, dan akhirnya, ia memang selayaknya,” kata Gundogan yang ditampilkan pengendali City, Pep Guardiola dalam skuad yang melakukan 11 pertukaran pemain.