Lelaki cedera ditetak guna parang depan premis makanan segera

Iklan
Mangsa cedera di kepala dan kaki. Gambar kecil: Abdul Malik

SEREMBAN - Seorang lelaki berusia lingkungan 30-an cedera di kepala dan kaki selepas diserang sekumpulan individu tidak dikenali dalam pergaduhan di hadapan sebuah premis makanan segera di Bandar Baru Nilai, di sini, awal pagi Ahad.

Mangsa yang ditetak menggunakan senjata parang dan sebatang kayu dikejarkan ke hospital dalam keadaan berlumuran darah sebelum dimasukkan ke zon merah untuk rawatan segera.

Iklan
Iklan

Ketua Polis Daerah Nilai, Superintenden Abdul Malik Hasim berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu daripada Pegawai Perubatan Hospital Sultan Idris Shah, Serdang yang merawat mangsa pada jam 6.08 pagi.

Menurutnya, siasatan awal mendapati insiden berkenaan tidak membabitkan unsur gengsterisme, dendam atau konflik terdahulu.

Iklan

“Kejadian dipercayai berpunca daripada salah faham yang berlaku secara spontan akibat pengaruh alkohol dalam kalangan kedua-dua pihak sehingga menyebabkan provokasi dan pergaduhan fizikal.

“Mangsa telah ditetak menggunakan senjata jenis parang dan sebatang kayu oleh beberapa individu yang tidak dikenali," katanya menerusi kenyataan pada Ahad.

Iklan

Abdul Malik berkata, mangsa dalam keadaan stabil dan mengalami kecederaan di bahagian kepala dan kaki.

Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan (merusuh dengan senjata), Seksyen 326 (mendatangkan kecederaan parah dengan senjata berbahaya) dan Seksyen 427 (khianat).

Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Bilik Gerakan IPD Nilai di talian 06-790 4222 atau mana-mana balai polis berhampiran.

Pada masa sama beliau menasihatkan orang awam supaya tidak membuat sebarang spekulasi dan memberi jaminan bahawa siasatan sedang dijalankan bagi memastikan keselamatan awam terus terpelihara.