61,000 usahawan terima manfaat dana niaga Selangor

Iklan
Najwan (tengah), Ketua Pegawai Eksekutif Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI, Datuk Saipolyazan M Yusop (kanan) dan Mearia Hamzah (kiri) bergambar bersama usahawan Hijrah pada Majlis Aidilfitri Bersama Usahawan bertemakan “Ikatan Lebaran, Bersama Diraikan” di Petals Event Space, Seksyen 7, Shah Alam pada 24 April lalu.

SHAH ALAM - Seramai 61,000 usahawan di negeri ini menerima manfaat pembiayaan Yayasan Hijrah Selangor (Hijrah Selangor) hampir RM1 bilion sejak 2015 hingga Mac.

EXCO Keusahawanan, Najwan Halimi memberitahu sebanyak RM125 juta disalur kepada peniaga di Shah Alam dan Petaling Jaya untuk mengembangkan lagi perniagaan mereka.

Iklan
Iklan

Katanya, Hijrah Selangor mahu memperkasa golongan kelas menengah melalui pelbagai inisiatif termasuk pembiayaan, bimbingan dan pengiktirafan demi pembangunan ekonomi berterusan.

“Sejak penubuhan Hijrah, 92,000 pembiayaan disalur bagi membantu 61,000 usahawan dengan jumlah pembiayaan lebih RM860 juta, hampir mencecah RM1 bilion,” katanya baru-baru ini.

Iklan

Menasihati usahawan yang menerima pembiayaan supaya tertib membuat pembayaran semula, Najwan berkata, kadar pembayaran semula sejak tahun lalu meningkat 97 peratus berbanding sebelum ini.

"Usahawan perlu ingat Hijrah Selangor bukan ah long dan tidak kejar mereka sebaliknya beri ruang buat penjadualan semula. Kita beri ruang fleksibel, bantu mereka rancang aliran tunai.

Iklan

"Namun, jika mereka tegar tidak mahu membayar walaupun dipanggil dan jadual pembayaran disusun semula, kita tidak teragak-agak untuk ambil tindakan tegas,” kata beliau lagi.

Sebelum ini, Ketua Pegawai Eksekutif Hijrah Selangor, Datuk Mearia Hamzah memberitahu pihaknya menyasar pembiayaan sebanyak RM60 juta bawah Skim i-Bisnes bagi membantu peniaga di negeri ini.

Beliau menjelaskan bantuan sedemikian bertujuan membantu usahawan mengembangkan perniagaan pada tahun ini kepada individu lelaki dan wanita yang dijangka memanfaatkan ribuan peniaga.

Menurutnya, Hijrah Selangor turut menyediakan Skim Niaga Darul Ehsan (NADI) untuk usahawan wanita secara berkumpulan dengan sasaran pembiayaan RM5 juta kepada kira-kira 500 penerima.