Lelaki ditahan sorok 4 ungka dalam bagasi

Iklan
Seorang lelaki warga tempatan ditahan cuba seludup Ungka Tangan Hitam di KLIA pada Jumaat

SEPANG – Taktik seorang lelaki warga tempatan menyeludup keluar empat ekor haiwan eksotik disyaki Ungka Tangan Hitam terbongkar selepas dia ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada Jumaat.

Menurut kenyataan Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) pada Ahad, pemeriksaan dilakukan bersama pasukan Aviation Security (AVSEC) di Zon Pemeriksaan, Terminal 1 KLIA.

Iklan
Iklan

"Pemeriksaan tersebut melibatkan sebuah syarikat penerbangan ke Mumbai, India yang dijadualkan berlepas pada jam 8.55 malam.

"Pemeriksaan lanjut ke atas salah satu bagasi penumpang telah menemui empat ekor haiwan yang disyaki Ungka Tangan Hitam yang disembunyikan," menurut kenyataan itu.

Iklan

Susulan penemuan tersebut, seorang lelaki berusia 34 tahun telah ditahan di lokasi dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Aeropolis untuk tindakan lanjut.

"Haiwan eksotik yang dianggarkan bernilai kira-kira RM30,000 telah diserahkan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Semenanjung Malaysia untuk siasatan dan tindakan lanjut.

Iklan

"Kes disiasat mengikut peruntukan di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 [Akta 716] dan Akta Perdagangan Antarabangsa Mengenai Spesies Terancam 2008 [Akta 686]," katanya.

Kejayaan itu adalah antara hasil pelaksanaan pemeriksaan bersepadu yang diperketatkan oleh AKPS, AVSEC dan Perhilitan Semenanjung Malaysia bermula 1 Jun lalu, yang memberi tumpuan kepada usaha membanteras penyeludupan spesies terancam khususnya di laluan udara sektor penerbangan berisiko tinggi.

"AKPS, AVSEC dan Perhilitan Semenanjung Malaysia akan terus komited memperkukuh kawalan di pintu masuk KLIA dan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terlibat dalam aktiviti penyeludupan hidupan liar melalui laluan udara," tegas kenyataan itu.