NIBONG TEBAL – Seorang pemandu wanita warga emas berusia 70 tahun ditahan selepas dikesan memandu sebuah Proton X50 di lorong motosikal di Jambatan Sultan Abdul Halim Muadzam Shah pada Sabtu.
Kejadian itu menjadi tular selepas rakaman video berdurasi enam saat tersebar di media sosial.
Difahamkan, insiden berlaku di Kilometer 8.6 jambatan berkenaan, menghala dari Batu Kawan ke Batu Maung pada jam 1.30 tengah hari.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan (SPS), Superintenden Jay January Siowou berkata, hasil maklumat awal, Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah SPS berjaya mengesan pemandu wanita tersebut sebelum membawanya ke IPD SPS untuk tindakan lanjut.
"Satu kertas siasatan telah dibuka di bawah Kaedah 8(3), Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959 (LN166/59) kerana memandu di lorong yang tidak dibenarkan.
“Sehubungan itu, polis mengingatkan orang ramai agar mematuhi peraturan dan undang-undang jalan raya, terutamanya di laluan berisiko tinggi seperti jambatan dan lorong motosikal.
“Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana individu yang melanggar peraturan hingga membahayakan keselamatan pengguna jalan raya lain. Keselamatan jalan raya adalah tanggungjawab bersama,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Tambah beliau, orang ramai yang mempunyai maklumat lanjut berhubung kejadian ini diminta menghubungi Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik IPD SPS di talian 04-5858222.