SHAH ALAM – Satu sidang khas tergempar Parlimen perlu diadakan segera bagi membincangkan konflik yang semakin meruncing melibatkan tindakan ketenteraan Israel dan Amerika Syarikat (AS) terhadap Iran.
Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Mahfuz Omar berkata, konflik itu menimbulkan kebimbangan serius terhadap kestabilan serantau dan global termasuk di Asia Tenggara, selain mengorbankan nyawa dan memusnahkan infrastruktur awam di Iran.
"Justeru, saya mendesak Parlimen mengadakan sidang khas bagi membincangkan pendirian rasmi Malaysia dalam konflik ini, tindakan diplomatik sewajarnya, kesan geopolitik dan ekonomi kepada negara, serta tindakan kemanusiaan yang boleh diambil oleh Malaysia untuk membantu rakyat Iran yang menjadi mangsa konflik.
"Sebagai institusi demokrasi tertinggi negara, Parlimen tidak boleh berdiam diri dalam isu melibatkan keadilan sejagat, kedaulatan negara lain dan kemanusiaan," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Mahfuz mengingatkan bahawa suara rakyat Malaysia mesti dizahirkan melalui saluran sah dan terhormat iaitu Dewan Rakyat.
Beliau turut menegaskan bahawa Malaysia mesti konsisten menolak segala bentuk penjajahan, pencerobohan dan pencabulan terhadap undang-undang antarabangsa.
Dalam masa yang sama, katanya, Malaysia perlu terus memainkan peranan aktif dalam menggerakkan keamanan global menerusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), Pergerakan Negara-Negara Berkecuali (NAM) dan ASEAN.
"Saya menyeru agar Perdana Menteri segera mempertimbangkan keperluan sidang khas Parlimen itu demi kedaulatan nilai keadilan dan kemanusiaan sejagat," katanya lagi.