PDRM terus kekal diyakini di bawah kepimpinan Mohd Khalid - Ahmad Zahid

Iklan
Ahmad Zahid. Foto Bernama

SHAH ALAM – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menzahirkan ucapan tahniah kepada Datuk Seri Mohd Khalid Ismail atas pelantikan beliau sebagai Ketua Polis Negara (KPN) yang baharu.

Menurut Ahmad Zahid, berdasarkan rekod kepimpinan cemerlang yang dimiliki oleh Mohd Khalid, termasuk pengalamannya sebagai Pengarah Cawangan Khas Bukit Aman serta pelbagai jawatan strategik dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM) sejak 2018, beliau yakin pelantikan tersebut akan membawa pendekatan yang menyeluruh dan progresif dalam memelihara keselamatan negara serta ketenteraman awam.

Iklan
Iklan

“Insya-ALLAH, di bawah kepimpinan Datuk Seri Mohd Khalid, saya percaya PDRM akan terus kekal sebagai institusi yang dipercayai rakyat serta disegani kawan dan lawan,” katanya menerusi satu hantaran di laman Facebook rasmi beliau, pada Sabtu.

Mohd Khalid, 60, dilantik sebagai Ketua Polis Negara ke-15 menggantikan Tan Sri Razarudin Husain. Beliau pernah memegang pelbagai jawatan penting dalam Cawangan Khas PDRM, termasuk sebagai Ketua Cawangan Khas Pahang bermula 25 Mei 2018, sebelum dilantik sebagai Ketua Penolong Pengarah E2, Cawangan Khas Bukit Aman pada 6 September 2021.

Iklan

Dalam kenyataan yang sama, Ahmad Zahid turut merakamkan penghargaan kepada Tan Sri Razarudin atas segala jasa, khidmat bakti dan sumbangan beliau sepanjang tempoh menjawat jawatan sebagai Ketua Polis Negara.

“Sumbangan beliau kepada negara dan pasukan PDRM akan sentiasa dikenang,” katanya.

Iklan