BUTTERWORTH – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan melaksanakan pengauditan terhadap 500 syarikat pengendali Kenderaan Perkhidmatan Awam (KPA) dan Kenderaan Perdagangan Barangan (KPB) berisiko tinggi menerusi Ops Khas JISA di seluruh negara bermula Isnin ini.
Ketua Pengarah JPJ, Datuk Aedy Fadly Ramli berkata, operasi tersebut dilaksanakan selaras dengan arahan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke bagi menyiasat syarikat pengendali KPA dan KPB supaya mematuhi proses audit yang ditetapkan di bawah Akta Pengangkutan Awam Darat (APAD).
Beliau berkata, fokus utama operasi adalah untuk menilai tahap pematuhan syarikat terhadap aspek keselamatan, penyelenggaraan kenderaan, pengurusan pemandu serta rekod pematuhan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) dan peraturan berkaitan.
“Penguatkuasaan Ops Khas JISA melibatkan pelaksanaan Laporan Pemeriksaan dan Audit Keselamatan, yang memfokuskan kepada pematuhan Kod Tata Amalan Industri (ICOP) berkenaan keselamatan dalam industri pengangkutan.
“Selain itu, turut dilakukan semakan dan penyelesaian saman tertunggak oleh pemilik kenderaan dan pemandu, serta pematuhan terhadap Pelan Teknikal Kenderaan,” katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Majlis Penyerahan Lesen Memandu Program MyLesen B2 Tahun 2025 Peringkat Negeri Pulau Pinang, di sini, hari ini.
Aedy Fadly menegaskan tindakan itu diambil susulan kejadian kemalangan membabitkan kenderaan berat yang semakin kerap berlaku kebelakangan ini, termasuk nahas bas yang mengorbankan 15 pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) pada 9 Jun lalu.
Beliau berkata, pihaknya telah mengenal pasti senarai syarikat terlibat melalui data yang diperoleh daripada APAD dan semakan rekod saman tertunggak oleh JPJ.
“Berdasarkan statistik, JPJ telah mengenal pasti kategori syarikat pengendali berisiko tinggi yang melibatkan 300 lori, 100 bas persiaran dan 100 bas ekspres,” katanya.
Tambah beliau, tindakan tegas akan diambil terhadap pengendali yang didapati melanggar peraturan atau mengabaikan aspek keselamatan, termasuk pengeluaran notis kesalahan, penggantungan atau pembatalan lesen memandu vokasional (PSV/GDL) atau lesen pengendali syarikat. – Bernama