23.6 juta pengguna nikmati kadar tarif elektrik lebih adil

Iklan
Lebih 23.6 juta pengguna domestik di Semenanjung Malaysia akan menikmati kadar elektrik yang lebih adil dan progresif menerusi pelaksanaan jadual tarif elektrik baharu yang akan berkuat kuasa mulai 1 Julai ini hingga 31 Disember 2027. Gambar hiasan

PUTRAJAYA – [DIKEMAS KINI] Lebih 23.6 juta pengguna domestik di Semenanjung Malaysia akan menikmati kadar elektrik yang lebih adil dan progresif menerusi pelaksanaan jadual tarif elektrik baharu yang akan berkuat kuasa mulai 1 Julai ini hingga 31 Disember 2027.

Suruhanjaya Tenaga dalam satu kenyataan berkata, jadual elektrik baharu itu diperkenalkan di bawah kerangka kerja Kawal Selia Berasaskan Insentif (Incentive-Based Regulation – IBR), selaras dengan peruntukan Seksyen 26 Akta Bekalan Elektrik 1990.

Iklan
Iklan

Menurutnya, perubahan tarif elektrik bagi Tempoh Regulatori Keempat (Regulatory Period 4 – RP4) itu melibatkan penstrukturan semula tiga komponen iaitu kadar purata tarif asas, jadual tarif baharu dan mekanisme pelarasan kos bahan api.

“Kadar purata asas diselaraskan berdasarkan anggaran kos pembekalan elektrik bagi tempoh RP4 dan ditetapkan pada kadar 45.40 sen/kWj berbanding 45.62 sen/kWj yang diluluskan pada Disember 2024.

Iklan

“Dengan pelarasan ini, purata kos keseluruhan tarif elektrik berkurangan sehingga 19 peratus berbanding Tempoh Regulatori Ketiga (RP3),” menurut kenyataan itu pada Jumaat.

Selain itu, Suruhanjaya Tenaga turut memaklumkan bahawa perubahan struktur tarif elektrik tersebut merangkumi kategori pengguna, caj dan insentif.

Iklan

Ujarnya, pengenalan jadual tarif baharu itu membabitkan perubahan kategori pengguna yang terbahagi kepada domestik dan bukan domestik berdasarkan pengguna voltan rendah, sederhana dan tinggi.

“Perkara lain yang turut terlibat dalam pengenalan jadual tarif baharu ini ialah penetapan setiap caj bagi komponen tenaga, kapasiti, rangkaian dan peruncitan yang berdasarkan kos berkaitan,” tambah kenyataan itu.