IPOH - Seorang wanita cedera parah selepas terjatuh dari tingkat tujuh sebuah pangsapuri di Jalan Lim Bo Seng, Kampung Jawa, di sini pada Jumaat.
Mangsa berusia 20 tahun itu didapati terjatuh ke ruang balkoni belakang di bahagian pemampat pendingin hawa di tingkat dua bangunan berkenaan.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak Sabarodzi Nor Ahmad berkata, panggilan kecemasan berhubung kejadian itu diterima pada jam 12.21 tengah hari.
"Anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ipoh yang tiba di tempat kejadian mendapati mangsa mengalami kecederaan serius termasuk patah pada bahagian paha dan luka di beberapa anggota badan.
"Ketua operasi melaksanakan penilaian awal dan mengarahkan pasukannya menggunakan kaedah pemindahan mangsa menerusi konsep LAST (Locate, Access, Stabilize, Transport)," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Menurut beliau, mangsa kemudiannya diangkat menggunakan pengusung ke lokasi yang lebih selamat sebelum menyerahkan kepada petugas perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang berada di lokasi.
"Mangsa telah diberikan rawatan awal dan kemudiannya dihantar ke hospital menggunakan ambulans untuk tindakan lanjut," katanya.
Operasi menyelamat disertai lapan anggota itu tamat sepenuhnya pada jam 1.20 petang.
Sinar Harian difahamkan, punca mangsa terjatuh masih belum diketahui dan kes kini diserahkan kepada pihak berkuasa untuk siasatan lanjut.