KUALA LUMPUR – [DIKEMAS KINI] Pengarah Cawangan Khas, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail dilantik sebagai Ketua Polis Negara (KPN) ke-15 berkuat kuasa pada Jumaat.
Beliau menggantikan Tan Sri Razarudin Husain yang akan menamatkan kontrak sebagai KPN pada 22 Jun ini.
Majlis serah terima tugas berkenaan disaksikan oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail di Pusat Latihan Polis (Pulapol), Kuala Lumpur.
Sebelum ini, Mohd Khalid Ismail dilantik sebagai Pengarah Cawangan Khas berkuat kuasa 8 Mei 2023. Beliau juga pernah menjawat jawatan Timbalan Pengarah Cawangan Khas I selepas dilantik pada 25 Oktober 2022.
Pada 2 November 2023, Mohd Khalid dikurniakan Darjah Panglima Gagah Pasukan Polis (PGPP) daripada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, di Istana Negara.
Untuk makluman, Tan Sri Razarudin dilantik sebagai KPN pada 23 Jun 2023 dan memegang tampuk kepimpinan Sang Saka Biru selama dua tahun.
Beliau merupakan Ketua Polis Negara ke-14, menggantikan Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani.
Razarudin dilahirkan pada 15 Mac 1963 di Dengkil, Selangor dan berkelulusan Ijazah Sarjana Sains Sosial (Pengajian Kepolisan) daripada Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
Beliau memulakan kerjaya pada tahun 1984 di Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kontinjen Kedah sebagai Pegawai Penyiasat.
Antara jawatan lain yang pernah disandang beliau ialah Penolong Pengarah D9, Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman; Timbalan Komander Special Task Force on Organised Crime (STAFOC) Bukit Aman; Ketua JSJ Pulau Pinang; Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah dan Ketua Polis Perak.
Razarudin kemudian dilantik sebagai Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman selama setahun serta menjawat jawatan Timbalan Ketua Polis Negara dari tahun 2021 sehingga Jun 2023.
Beliau telah mendirikan rumah tangga dengan Puan Sri Zainah Othman dan dikurniakan lima orang cahaya mata.
Sementara itu, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, pelantikan Mohd Khalid secara kontrak selepas bersara termaktub di bawah Fasal 4 dan 5 Perkara 140 Perlembagaan Persekutuan, diperkenan Yang di-Pertuan Agong dengan nasihat Perdana Menteri atas perakuan Suruhanjaya Pasukan Polis.
"Kerajaan Madani mengucapkan syabas dan tahniah kepada Datuk Seri Mohd Khalid Ismail di atas pelantikan ini.
"Bagi pihak kerajaan, saya juga ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Tan Sri Razarudin Husain atas
segala sumbangan dan khidmat bakti yang telah diberikan sepanjang tempoh perkhidmatan sebagai Ketua Polis Negara sejak 23 Jun 2023," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Sebagai rekod, Mohd Khalid dilahirkan pada 8 April 1965 di Manong, Perak dan berkelulusan Ijazah Sarjana Comparative Laws dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).
Beliau merupakan seorang pegawai berpengalaman dalam bidang risikan dan keselamatan sejak mula berkhidmat dalam pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada 5 April 1987 dan ditempatkan di Cawangan Khas Ibu Pejabat Polis Bukit Aman setelah tamat Latihan Kepolisan Am pada tahun sama.
Mohd Khalid pernah menjawat jawatan 'key-post' sebagai Timbalan Pengarah Cawangan Khas I, Ibu Pejabat Polis Bukit Aman dan Security Liaison Officer (SLO) London, United Kingdom.
Selain itu, beliau dinaikkan pangkat sebagai Pengarah Cawangan Khas pada 10 April 2023 sebelum bersara wajib pada 8 April 2025.
Perkhidmatan beliau sebagai Pengarah Cawangan Khas diteruskan selepas bersara dan telah dilantik secara kontrak mulai 8 April 2025 hingga kini.
Berdasarkan pengalaman yang luas dalam bidang kepolisan, Mohd Khalid mempunyai kompetensi dan daya kepimpinan yang tinggi bagi meneruskan kesinambungan dan tanggungjawab menerajui pasukan PDRM.