AUSTIN - Prototaip terkini roket Starship milik SpaceX, dikenali sebagai Ship 36, musnah dalam satu letupan ketika menjalani ujian static fire di kemudahan Starbase syarikat itu di Texas, Amerika Syarikat (AS) awal pagi Rabu.
Letupan besar berlaku sejurus sebelum atau semasa penyalaan enjin, menyebabkan kenderaan angkasa itu hancur dan serpihannya mencetuskan kebakaran di kawasan tapak ujian.
Rakaman video dan laporan saksi menunjukkan bahagian belakang kawasan ujian bersebelahan, dikenali sebagai Massey’s Test Area, turut mengalami kerosakan, namun tahap kerosakan masih dalam penilaian.
Menurut laporan RF Safe, letupan berlaku sekitar jam 11 malam waktu tempatan ketika jurutera sedang bersiap untuk ujian penyalaan enam enjin.
Tiada kecederaan dilaporkan.
Ship 36 dijadual digunakan dalam misi Flight 10 program Starship, dan kehilangannya dijangka menjejaskan jadual ujian akan datang.
SpaceX kini sedang menjalankan siasatan punca kejadian dan kerja-kerja pemulihan kemudahan terlibat. - Awani