BERLIN - Menteri Luar Jerman, Johann Wadephul bersama rakan sejawatnya dari Perancis dan United Kingdom (UK) merancang untuk mengadakan pertemuan dengan Menteri Luar Iran, Abbas Araghchi di Geneva pada Jumaat, menurut sumber diplomatik kepada Agensi Berita Jerman (dpa).
Wadephul telah mengubah jadual asal lawatannya ke Timur Tengah yang melibatkan Lebanon, Syria dan Israel sejurus selepas serangan Israel terhadap Iran bermula pada Jumaat lalu.
Iklan
Iklan
Sebaliknya, beliau melakukan lawatan ke Arab Saudi, Qatar dan Oman bagi mengadakan rundingan krisis. Kerajaan Oman khususnya mempunyai hubungan yang sangat erat dengan Tehran.
Menerusi pertemuan ini, Wadephul berhasrat menyelaraskan satu inisiatif melibatkan tiga negara Eropah dikenali sebagai E3 - Jerman, Perancis dan UK - yang telah lama terlibat dalam rundingan bersama Iran mengenai program nuklearnya, selain dengan negara Arab jiran bagi mencari penyelesaian diplomatik terhadap konflik yang sedang berlaku.
Sejak hampir dua bulan lalu, Amerika Syarikat (AS) dan Iran telah mengadakan rundingan dengan pengantaraan Oman sebelum Israel melancarkan serangan besar-besaran ke atas Iran pada Jumaat, menyasarkan kemudahan nuklear, instalasi ketenteraan dan beberapa lokasi utama di bandar besar. Iran bertindak balas dengan melancarkan serangan peluru berpandu hebat terhadap Israel. - Bernama-dpa