TUMPAT – Pasukan Gerakan Am (PGA) bersama Majlis Daerah Tumpat berjaya menumpaskan kegiatan penjualan rokok elektronik (vape) tanpa lesen apabila melakukan serbuan ke atas sebuah premis di Kampung Geting di sini, pada Rabu.
Serbuan yang dijalankan pada jam 3 petang itu dilakukan semasa penugasan Op Taring Wawasan, dan hasilnya sebanyak 198 kotak cecair, 59 unit peranti serta tiga peket cecair vape telah ditemui di dalam premis berkenaan.
Komander Briged Tenggara PGA, Datuk Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata, seorang lelaki berusia 26 tahun yang merupakan penjaga premis turut ditahan dalam operasi tersebut.
"Hasil pemeriksaan mendapati suspek gagal mengemukakan sebarang dokumen dan lesen yang sah daripada Majlis Daerah Tumpat berkaitan perniagaan rokok elektronik terbabit.
"Anggaran nilai rampasan keseluruhan dianggarkan berjumlah RM23,000 dan semua barang rampasan telah diserahkan kepada Majlis Daerah Tumpat untuk tindakan lanjut," katanya kepada pemberita pada Khamis.
Menurut beliau, kes disiasat di bawah Seksyen 4(5)(c) Undang-Undang Kecil Perlesenan Tred, Perniagaan dan Perindustrian Majlis Daerah Tumpat (MDT) 2019.