Lelaki maut akibat guna termos berkarat selama 10 tahun

Iklan
Seorang lelaki di Taiwan dilaporkan meninggal dunia baru-baru ini akibat keracunan logam berat selepas menggunakan termos yang sama selama lebih 10 tahun. Gambar hiasan

TAIPEI – Seorang lelaki di Taiwan dilaporkan meninggal dunia baru-baru ini akibat keracunan logam berat selepas menggunakan termos yang sama selama lebih 10 tahun, meskipun terdapat tanda-tanda jelas hakisan dan karat pada permukaan dalamannya.

Menurut laporan media tempatan, lelaki itu mula mengalami masalah kesihatan sejak setahun lalu, dan ujian darah menunjukkan dia mengalami keracunan logam berat.

Iklan
Iklan

Hasil siasatan lanjut mendapati dia menggunakan termos berkarat itu setiap hari untuk menyimpan minuman berasid seperti kopi, teh dan jus.

Pemeriksaan ke atas termos mendapati ia sudah rosak teruk akibat karat dan tidak diperbuat daripada bahan tahan karat seperti keluli tahan karat gred 304.

Iklan

Meskipun menyedari keadaan termos yang tidak selamat itu, mangsa dikatakan hanya membilasnya secara biasa dan terus menggunakannya.

Doktor percaya logam berat telah meresap ke dalam minumannya sejak sekian lama, seterusnya menjejaskan sistem imun badan.

Iklan

Lelaki itu akhirnya meninggal dunia akibat jangkitan paru-paru yang teruk selepas tubuhnya gagal melawan kuman, meskipun menerima rawatan intensif.

Pakar kesihatan memberi amaran supaya orang ramai tidak menggunakan termos yang telah berkarat atau rosak.

Mereka juga menasihatkan agar termos ditukar setiap dua hingga tiga tahun, dan tidak digunakan untuk menyimpan minuman berasid atau bergas seperti air cola.-Agensi