JOHOR BAHRU – Polis sedang menyiasat rakaman video tular di media sosial membabitkan seorang pemandu yang memarahi anggota polis di Jalan Austin Heights 7/4 pada Ahad lalu.
Menurut Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat, hasil semakan mendapati kejadian berlaku pada 15 Jun kira-kira jam 4.00 pagi, ketika dua anggota polis dari Unit Ronda Cegah Jenayah (RCJ) Balai Polis Taman Setia Indah sedang melakukan rondaan menggunakan sebuah Proton Waja milik Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Katanya, ketika rondaan dijalankan, kereta tersebut mengalami masalah teknikal melibatkan sistem pendawaian lampu hadapan, belakang serta lampu mata arah (beacon light), menyebabkan semua lampu gagal berfungsi.
“Akibat masalah teknikal itu, kereta Proton Waja milik PDRM tidak dapat digerakkan dan anggota terlibat kemudiannya berhenti di lokasi yang sesuai bagi menunggu bantuan daripada Bahagian Penyelenggaraan.
“Ketika anggota polis menunggu bantuan, seorang lelaki yang memandu kenderaan persendirian telah menghampiri lokasi dan mempersoalkan kehadiran mereka sebelum bertindak melakukan provokasi.
"Anggota polis kemudiannya memberikan penjelasan mengenai kerosakan kenderaan, namun lelaki berkenaan tetap bertegas sebelum meninggalkan lokasi,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Setakat ini, tiada laporan polis diterima berhubung kejadian tersebut, namun pihak polis memandang serius penularan video yang boleh menjejaskan imej dan kredibiliti anggota bertugas.
Beliau turut menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi serta tidak menyebarkan maklumat yang tidak sahih di media sosial.
Sebarang maklumat atau aduan boleh disalurkan ke balai polis berdekatan atau menghubungi hotline Ibu Pejabat Polis Daerah Johor Bahru Selatan di talian 07-2182323 bagi membantu siasatan.