Titah Adendum: Najib buat laporan polis terhadap bekas AG

Iklan
Najib Razak

KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak membuat laporan polis terhadap mantan Peguam Negara, Tan Sri Ahmad Terrirudin Mohd Salleh berhubung isu Titah Adendum.

Peguamnya, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah berkata, beliau telah diarahkan oleh Najib untuk membuat laporan tersebut di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi pada Isnin.

Iklan
Iklan

“Sebelum ini, Najib telah meminta kebenaran untuk membuat laporan polis sama ada di dalam penjara atau dengan bantuan pihak penjara bagi membuat laporan di IPD Kajang.

“Namun, permohonan itu tidak mendapat maklum balas positif. Oleh itu, beliau telah mengarahkan saya untuk membuat laporan berkenaan,” katanya dalam sidang akhbar di hadapan IPD Dang Wangi di sini pada Isnin.

Iklan
Muhammad Shafee mewakili Najib membuat laporan di IPD Dang Wangi pada Isnin.

Shafee memaklumkan, laporan dibuat terhadap Ahmad Terrirudin mengikut Seksyen 204 dan Seksyen 209 Kanun Keseksaan.

“Kesalahan-kesalahan yang didakwa dalam laporan itu adalah berkaitan dengan Titah Adendum. Saya tidak akan mengulas lebih lanjut kerana laporan ini adalah dokumen siasatan,” ujarnya.

Iklan

Terdahulu, pada 29 Mei lalu, Shafee memaklumkan bahawa Najib masih belum menerima sebarang jawapan meskipun tujuh surat telah dihantar bagi mendapatkan pengesahan mengenai kewujudan Titah Adendum tersebut.

Dalam satu sidang akhbar di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur, Shafee menjelaskan bahawa surat-surat itu telah dihantar kepada Peguam Negara ketika itu, Ahmad Terrirudin, Kementerian Dalam Negeri (KDN) serta Ketua Pengarah Penjara.

Bagaimanapun, katanya, tiada sebarang jawapan atau pengesahan bahawa surat-surat tersebut telah diterima oleh mana-mana pihak berkenaan.