TEHERAN - Kementerian Luar Iran mengecam sekeras-kerasnya tindakan tentera Israel selepas melancarkan serangan ke atas bangunan kementerian di Tehran, yang mengakibatkan ramai mangsa cedera termasuk kakitangan kementerian tersebut.
Dalam satu kenyataan, Timbalan Menteri Luar Iran, Saeed Khatibzadeh menyifatkan serangan itu sebagai satu tindakan sengaja dan kejam yang dilakukan oleh “rejim jenayah Israel”.
Iklan
Iklan
“Kecederaan yang berlaku melibatkan beberapa rakan sekerja saya, yang telah dipindahkan ke hospital untuk mendapatkan rawatan,” kata Khatibzadeh, yang mengetuai badan pemikir dasar luar kementerian, Institut Kajian Politik dan Antarabangsa (IPIS).
Serangan itu sekali lagi meningkatkan ketegangan antara kedua-dua negara, dengan Iran berikrar akan mengambil tindakan sewajarnya sebagai tindak balas terhadap serangan tersebut.
Sementara itu, Tentera Israel mendakwa telah melancarkan serangan ke atas tapak peluru berpandu di Iran dalam serangan terbaharu.
Jurucakap tentera Israel, Nadav Shoshani dalam satu hantaran di platform X berkata, pihaknya sedang bertindak terhadap ancaman di ruang udara Israel dan Iran.
Serangan ini dilihat sebagai isyarat peningkatan ketegangan antara Israel dan Iran, dengan kedua-dua pihak terus melancarkan tindakan ketenteraan terhadap satu sama lain.