BENTONG - Polis mengesahkan menerima laporan daripada seorang ahli perniagaan yang juga pempengaruh media sosial berkaitan kes pecah amanah membabitkan pekerjanya pada Jumaat lalu.
Ketua Polis Daerah Bentong, Superintenden Zaiham Mohd Kahar berkata, pengadu yang merupakan lelaki warganegara tempatan berusia 37 tahun hadir ke Balai Polis Bentong untuk membuat laporan kira-kira jam 9.37 malam.
Menurutnya, laporan dibuat terhadap seorang pekerja lelaki berusia 38 tahun yang juga pengurus syarikat kerana dipercayai melakukan pecah amanah melibatkan wang syarikat.
“Siasatan awal mendapati jumlah kerugian dianggarkan kira-kira RM12,000.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 408 Kanun Keseksaan,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Ujarnya, orang ramai dimohon agar tidak membuat sebarang spekulasi memandangkan kes masih dalam siasatan.
Sementara itu, ahli perniagaan terbabit yang dikenali sebagai Man Chong di media sosial turut mengumumkan secara rasmi di laman Facebook miliknya bahawa suspek bukan lagi pekerja syarikat perabotnya, Sofamann.
Menurutnya, suspek telah menghilangkan diri sejak 9 Mei lalu dan hanya meninggalkan telefon bimbit milik syarikat.
“Dulu dia adalah pengurus kedai kami, biasanya urus penghantaran dan jaga jualan,” ujarnya dalam hantaran tersebut.
Beliau turut menasihatkan peniaga lain agar berhati-hati dengan individu berkenaan supaya tidak menjadi mangsa seterusnya.