Kenapa UMNO nak takut dengan DAP? - Jalaluddin

Iklan
Jalaluddin

PORT DICKSON – Ahli UMNO tidak perlu takut dengan hubungan parti itu dengan DAP, kata Pengerusi UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias.

Beliau berkata, UMNO mempunyai kekuatan tersendiri dan tidak perlu gusar untuk terus bercakap mengenai perjuangan parti.

Iklan
Iklan

"UMNO nak takut dengan DAP pasal apa? UMNO kecil sangat ke?

"Mana panglima UMNO takut kepada parti lain? Kita bercakap soal UMNO, orang parti lain tak boleh marah. Kita bercakap soal perjuangan kita, kekuatan kita, apa kita nak takut sangat pada DAP?" katanya.

Iklan

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Port Dickson di sini pada Ahad.

Perasmian disempurnakan oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Iklan

Menurut Jalaluddin, perlu diakui bahawa DAP mempunyai kekuatan tersendiri dan mampu memenangi setiap kerusi yang ditandingi dalam pilihan raya.

"Kita tak pernah bantu DAP menang. Di Negeri Sembilan, 13 daripada 36 kerusi DUN pastinya akan dimenangi oleh parti bukan daripada BN, yang mana 11 daripadanya ditandingi DAP.

"Minta maaf kepada MCA dan MIC... kerana keadaan politik kita sekarang, kena terima hakikat dan bangkit semula dengan tekad untuk mengukuhkan sokongan dan keyakinan daripada masyarakat bukan Melayu," katanya.

Selain itu, beliau berpendapat bahawa belum tiba masanya untuk UMNO bertanding secara solo pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) kerana parti itu masih memerlukan rakan kongsi bagi menjamin kemenangan.

Dalam pada itu, Jalaluddin turut memberi keyakinan bahawa UMNO Negeri Sembilan akan terus berdiri teguh di belakang presiden parti berkenaan.