Warga SPRM disaran guna AI, tangani rasuah era digital

Iklan
Azmi (dua dari kanan) bergambar bersama Nazli (kanan) kketika menghadiri Majlis Serah Terima Tugas Pengarah SPRM Kedah pada Ahad.

ALOR SETAR - [DIKEMAS KINI] Warga Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) disarankan untuk menggunakan teknologi baharu, termasuk kecerdasan buatan (AI), dalam melaksanakan tugas harian bagi membanteras rasuah di negara ini.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM, Datuk Azmi Kamaruzaman berkata, penggunaan teknologi AI selaras dengan hasrat Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, yang sering menekankan kepada penggunaan teknologi baharu bagi menangani jenayah rasuah yang semakin kompleks.

Iklan
Iklan

“Pegawai-pegawai baharu juga digalakkan untuk menggunakan teknologi terkini dalam tugasan harian.

"Ini kerana cabaran penyiasatan semakin mencabar dalam era digitalisasi masa kini serta pada masa sama terus mengekalkan tahap disiplin dalam kerja masing-masing,” katanya.

Iklan

Beliau berkata demikian ketika menghadiri Majlis Serah Terima Tugas Pengarah SPRM Kedah yang diadakan di Bilik Mesyuarat Utama SPRM Kedah pada Ahad.

Pada majlis itu, bekas Pengarah Bahagian Pendidikan Masyarakat (PenMas) SPRM, Datuk Nazli Rasyid Sulong, akan menjalankan tugas sebagai Pengarah SPRM Kedah yang baharu bagi menggantikan Datuk Ahmad Nizam Ismail yang dilantik sebagai Pengarah PenMas SPRM berkuat kuasa 23 Mei 2025.

Iklan

Menurut Azmi, SPRM Kedah yang diterajui oleh Ahmad Nizam telah mencapai banyak kejayaan sepanjang tempoh pentadbirannya sejak 2 Februari 2024.

Beliau turut menyarankan Nazli Rasyid agar terus mengekalkan kecemerlangan SPRM Kedah.

"SPRM Kedah juga diminta untuk terus menjalin hubungan dengan agensi-agensi luar kerajaan negeri dalam usaha memantapkan kerjasama strategik.

“Bagi pihak seluruh warga SPRM, saya merakamkan ucapan terima kasih dan setinggi-tinggi penghargaan atas segala sumbangan sepanjang perkhidmatan Ahmad Nizam di negeri ini,” ujarnya.

Sementara itu, Ahmad Nizam memberitahu, sepanjang tempoh perkhidmatannya pelbagai program kemasyarakatan diadakan bersama komuniti-komuniti setempat.

Jelasnya, ia bertujuan mendekatkan SPRM dengan rakyat serta menanamkan nilai-nilai integriti dan antirasuah.

“Saya berharap agar SPRM Kedah akan terus maju jaya dan mencapai lebih banyak kejayaan di masa akan datang.

"Saya akan sentiasa mendoakan yang terbaik untuk anda semua. Jaga diri, jaga integriti," ulasnya.