KUALA LANGAT - Sebanyak enam pokok rhu tumbang dalam kejadian ribut kuat melanda Pantai Cunang, Tanjung Sepat di sini pada Sabtu.
Kejadian itu juga menyebabkan salah satu daripada pokok itu tumbang menghempap bumbung sebuah inap desa.
Menurut kenyataan Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL), semua pokok tumbang berjaya dipotong dan dialihkan dengan cermat bagi mengelakkan kerosakan lanjut pada struktur inap desa terbabit.
Beberapa dahan patah dan pokok mati yang berisiko turut ditebang menggunakan mesin gergaji berantai dan polesaw," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
MPKL memaklumkan, operasi bermula jam 8 pagi itu melibatkan 12 anggota dan bantuan daripada Pasukan Gerakan Am (PGA), Jabatan Penerangan Daerah Sepang, Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela), Badan Pengurusan Pantai Cunang serta penduduk sekitar Tanjung Sepat.
"Operasi tamat sepenuhnya pada jam 2 petang tanpa sebarang insiden dilaporkan.
"MPKL merakamkan penghargaan kepada semua pihak terlibat dalam memastikan kawasan pantai kembali selamat dan bersih," jelas beliau.