SEPANG - [DIKEMAS KINI] Seramai 283 jemaah haji Muassasah dari Malaysia selamat tiba di tanah air menerusi penerbangan sewa khas Malaysia Airlines (MH251) yang mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada jam 8.50 malam, Sabtu.
Ketibaan kumpulan pertama jemaah haji 1446H/2025M itu disambut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar; Pengerusi Lembaga Tabung Haji (TH), Tan Sri Abdul Rashid Hussain serta Ketua Pegawai Eksekutif TH, Mustakim Mohamad.
Kumpulan berkenaan adalah sebahagian daripada 31,600 jemaah haji Malaysia yang dijadualkan pulang secara berperingkat melalui 100 penerbangan sewa khas membabitkan Malaysia Airlines dan Saudi Airlines dari 14 Jun hingga 10 Julai ini.
Sementara itu, Mohd Na'im mengesahkan seramai 14 jemaah haji negara ini iaitu sembilan lelaki dan lima perempuan berusia antara 47 hingga 78 tahun, meninggal dunia di Tanah Suci dengan kebanyakan mereka terkena serangan jantung.
Dalam pada itu, Mohd Na'im mengucapkan terima kepada Pengerusi, Ketua Pegawai Eksekutif dan petugas TH kerana membantu serta menjaga kebajikan jemaah haji Malaysia sepanjang mereka berada di Tanah Suci sehingga selamat kembali ke negara ini.
Beliau juga gembira kerana Program Safari Wukuf yang baharu diperkenalkan TH berjaya membantu 95 jemaah haji yang uzur untuk menyempurnakan ibadah wukuf di Arafah baru-baru ini.
"Saya sempat bertemu dan menyantuni seramai 95 jemaah haji kita yang uzur yang pada hakikatnya tak mampu untuk berada di Arafah untuk berwukuf.
"Sebanyak 10 kenderaan ataupun bas yang diubah seolah-olah macam hospital disediakan bagi membolehkan jemaah-jemaah yang uzur ini dibawa dan berada di Arafah untuk berwukuf bagi tempoh dua jam di sana," katanya.