HAWANA: PPMP sambut baik i-Saraan KWSP

Iklan
Kerajaan umum perlindungan sosial i-Saraan KWSP dan SKSPS untuk wartawan sambilan, bukti keprihatinan terhadap kebajikan media bebas. Foto hiasan

IPOH - Wartawan sambilan dan bebas kini boleh menarik nafas lega apabila kerajaan memperluas perlindungan sosial kepada kumpulan itu melalui Skim i-Saraan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Pengerusi Persatuan Pengamal Media Perak (PPMP), Sayed Mohd Hesham Syed Idris berkata, pengumuman tersebut merupakan satu langkah inklusif yang amat diperlukan petugas media yang sebelum ini tidak menikmati kelebihan caruman persaraan seperti kakitangan tetap.

Iklan
Iklan

"Inisiatif ini amat besar ertinya kepada kerja-kerja kewartawanan, selain memberi motivasi dan kelegaan kepada semua pengamal media. Ia bukti keprihatinan Kerajaan Madani terhadap nasib wartawan yang sering berdepan pelbagai cabaran di lapangan," katanya dalam kenyataan di sini pada Sabtu.

Menurut beliau, langkah itu bukan sahaja memberi jaminan simpanan hari tua buat pengamal media yang tidak bermajikan, malah menjadi satu isyarat jelas bahawa kerajaan mendengar suara media akar umbi.

Iklan

"Ramai dalam kalangan kami yang bergerak sebagai wartawan sambilan tidak mempunyai caruman KWSP, tiada insurans, dan tiada perlindungan ketika bekerja. Ini bukan sekadar soal kewangan, tetapi soal keselamatan dan masa depan.

"Adanya i-Saraan memberi ruang kepada wartawan sambilan untuk mencarum secara sukarela dengan insentif tambahan kerajaan. Ia satu bentuk sokongan moral dan material yang sudah lama ditunggu-tunggu," katanya lagi.

Iklan

Dalam masa sama, beliau berharap pelaksanaan i-Saraan akan menjadi pemangkin kepada penubuhan skim insurans berkumpulan yang turut meliputi perlindungan kemalangan, perubatan dan hayat untuk pengamal media bebas dan sambilan.

"Skim insurans ini juga penting kerana ereka sering terdedah kepada risiko semasa menjalankan tugasan tanpa perlindungan seperti kakitangan tetap,” katanya lagi.

Terdahulu, Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil ketika berucap pada Majlis Kemuncak Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2025 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), mengumumkan peruntukan kerajaan sebanyak RM53,100 tahun ini bagi dua inisiatif kebajikan untuk pengamal media sambilan.

Bantuan tersebut meliputi lanjutan Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) di bawah Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) berjumlah RM37,170 dan caruman i-Saraan KWSP sebanyak RM15,930.